Siakap Keli
Gambar Hiasan

Harga RON95 Dan RON97 Turun 5 Sen, Diesel Kekal

PUTRAJAYA, 18 Jan (Bernama) – Harga runcit petroleum untuk RON97 dan RON95 turun sebanyak lima sen bagi tempoh 2 Februari 2019 sehingga 8 Februari 2019, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini.

Bagi tempoh tersebut, harga runcit petrol RON97 dan RON95 diturunkan masing-masing kepada RM2.23 seliter daripada RM2.28 seliter, dan RM1.93 seliter daripada RM1.98 seliter.

Diesel pula kekal pada paras RM2.18.

Lim berkata penurunan harga runcit bagi produk petrol RON95 adalah berikutan penurunan harga produk petroleum yang diproses di pasaran dunia yang didorong oleh faktor peningkatan pengeluaran produk petrol di pasaran global.

“Perbezaan kos produk yang lebih tinggi bagi diesel berbanding petrol adalah disebabkan oleh peningkatan permintaan bagi produk diesel, terutamanya dari China, dan juga peningkatan pengeluaran produk petrol di pasaran global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri itu berkata kerajaan akan terus komited untuk melaksanakan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum dan pada masa yang sama melaksanakan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat.

Beliau berkata ini bermakna apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat penurunan harga minyak dengan segera.

“Bagaimanapun sekiranya harga pasaran produk melebihi paras harga yang ditetapkan, kerajaan akan menstabilkan harga jualan runcit bagi produk petrol RON95 dan diesel dengan mengekalkan harga jualan runcit masingmasing pada paras RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.