Siakap Keli
Gambar Sekadar Hiasan

Makin Membimbangkan, Bilangan Rakyat Malaysia Jadi Keldai Dadah Meningkat Dari Tahun Lepas

Bilangan rakyat Malaysia menjadi keldai dadah semakin membimbangkan apabila jumlah itu menunjukkan peningkatkan tahun lepas, kata Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman DCP Zulkifli Ali.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan peratusan peningkatan aktiviti berkenaan dan berkata faktor kewangan selain desakan hidup dilihat antara penyumbang kepada kegiatan itu di negara ini.

Menurutnya, upah yang diterima individu terlibat dengan kegiatan itu antara RM5,000 dan RM10,000 dengan kebanyakan individu yang ditangkap tahu mereka membawa bahan terlarang itu.

“Tahun lepas memang ada peningkatkan aktiviti ini berbanding tahun sebelumnya misalnya di Hong Kong sahaja 23 keldai dadah ditahan.

“Keldai dadah ada dua keadaan, satu dari Malaysia bawa ke luar negara…satu lagi disuruh pergi ke luar negara ambil dadah dan hantar kepada negara ketiga,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini hari ini.

Bernama sebelum ini melaporkan seramai 425 warga Malaysia ditahan oleh pihak berkuasa di 19 negara sejak 2013 sehingga Oktober tahun lepas kerana menjadi keldai dadah.

Sumber : bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.