Siakap Keli

Jangan Main Beli, Kenali Perbezaan 6 Jenis Panadol Selalu Anda Guna

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Paracetamol atau lebih dikenali dengan panadol telah digunakan secara meluas sebagai ubat demam dan ubat tahan sakit. Ianya boleh diperolehi secara mudah di mana-mana kedai runcit, pasar raya atau kedai farmasi.

Namun, selama ini adakah anda membeli panadol yang betul? Adakah anda tahu setiap panadol yang diambil mempunyai tahap keberkesanannya sendiri. Disebabkan itu, sesetengahnya bila dimakan seakan tidak memberi kesan contohnya ketika anda mengalami migrain.

Perkongsian oleh ahli farmasi daripada Zaith Pharmacy ini diharap dapat memberi panduan untuk anda mengenali secara dekat beberapa jenis panadol yang terdapat di pasaran dan apa perbezaannya antara satu dengan yang lain.

“Bang, apa beza panadol ni dengan yang tu?”

Haa..jawab. Semua ada paracetamol (PCM), kenapa namanya lain-lain?

PANADOL ACTIFAST

Terkenal, tetapi ramai tidak tahu kenapa ianya lebih pantas berkesan berbanding yang biasa.

Ianya menggunakan sodium sebagai salah satu exipient untuk meningkatkan pergerakan paracetamol dari perut ke usus kecil (bahagian utama PCM akan diserap).

Jadi, bila lagi cepat PCM dapat tiba di usus kecil, lebih cepat ianya dapat diserap dan mencapai paras terapeutik yang diperlukan.

Harus diingat, untuk mencapai kecepatan tersebut, ianya memerlukan dua kaplet diambil serentak untuk mendapatkan jumlah sodium yang cukup. Kalau ambil satu kaplet sahaja, keberkesanannya tidak jauh beza dengan ambil yang regular.

Setiap kaplet mengandungi 173mg sodium. So, hati-hati bagi yang mempunyai masalah darah tinggi ya.

PANADOL OPTIZORB

Ini formulasi baru. Ramai tanya, apa beza dengan Actifast kalau dua-dua pantas keberkesanannya?

Perbezaannya adalah, formulasi optizorb menggunakan kalsium karbonat dan asid alginik yang akan menguraikan kaplet ini dengan cepat. Maka PCM akan lebih mudah dan cepat diserap.

Dinyatakan bahawa paras terapeutik seawal 15 minit, berbanding panadol dengan formulasi biasa; 45 minit – 1 jam 15 minit.

Kelebihannya: pantas dan lebih selamat pada mereka yang perlu mengawal pengambilan garam dalam diet mereka.

PANADOl EXTRA

Apa yang extra? Untuk kaplet ini, digabungkan PCM bersama kafein 65mg. Sesuai untuk kes migrain atau kesakitan yang lebih kuat.

Dinyatakan bahawa kafein berupaya untuk meningkatkan keupayaan analgesik (menahan sakit) yang ada. Tetapi ada beberapa kajian yang meragui keberkesanannya.

Kafein tidak boleh diambil melebihi 200mg oleh perempuan yang mengandung. Begitu juga pengambilan kafein melebihi 300mg oleh ibu yang menyusu boleh menyebabkan gangguan tidur kepada anak susuan. 

Maka, kita tidak galakkan pemberiannya kepada ibu yang mengandung dan menyusu badan.

PANADOL EXTEND

Kelebihannya adalah kesannya bertahan lebih lama (8 jam) daripada lain-lain produk Panadol (4-6 jam).

Mempunyai dua lapisan yang bertindak memanjangkan tempoh penyerapan seterusnya mengekalkan paras terapeutik pada tempoh yang lebih lama.

Sesuai untuk kesakitan kronik yang mengganggu urusan kerja yang memerlukan penumpuan lebih lama.

PANADOL SOLUBLE

Biasa digunakan untuk mereka yang susah telan ubat tablet.

Berkesan, tetapi kandungan sodiumnya yang sangat tinggi (427mg/tab).

Tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai darah tinggi.

PANADOL MENSTRUAL

Khusus buat wanita pada tempoh PMS dan semasa awal haid datang.

Memberikan kelegaan pada senggugut dan gabungan bersama pamabrom 25mg membantu menyingkirkan air lebihan yang terkumpul disebabkan perubahan hormon semasa haid.

Haa..dah faham? Kalau tahu cara penggunaan, kesakitan yang dirasai lebih berkesan dikawal cukup dengan paracetamol.

Maka, jangan cepat sangat minta ubat tahan sakit jenis NSAID (seperti ibuprofen, voren, naproxen, diclofenac dll.). Risiko untuk perut dan buah pinggang berbagai.

Mari kami di Zaith Pharmacy bantu terangkan kaedah mengawal kesakitan dengan cara lebih selamat dan murah.

Sumber : Zaith Pharmacy

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.