Siakap Keli
Gambar : Bernama

”Saya Tiada Maklumat Berkaitan Dana RM90 Juta,” – Nik Mohamad Abduh

Kota Bharu : Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung dakwaan beberapa anggota parti itu termasuk dirinya telah menerima dana sebanyak RM90 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau turut mendakwa beberapa individu yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini telah ‘tersalah orang’.

“Saya dipanggil (SPRM Kelantan) kerana ada beberapa laporan (kepada SPRM) pasal dana RM90 juta tu lah. Saya fikir mereka yang buat laporan terhadap saya tu salah orang kot. Saya tak ada maklumat pasal dana RM90 juta.

“Saya juga ada sentuh sedikit mengenai rakaman audio (didakwa membabitkan dirinya) dan saya jawab pendek, tak ada kaitan dengan saya, dan sebelum ini, saya dah jawab benda itu adalah karut dan fitnah,” katanya selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Kelantan di Jalan Lundang di sini.

Terdahulu, Nik Mohamad Abduh yang juga anggota Parlimen Bachok tiba di Ibu Pejabat SPRM Kelantan seorang diri tanpa ditemani peguam pada pukul 10.20 pagi dan keluar kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Semasa ditanya adakah beliau akan memberikan kerjasama kepada SPRM jika dipanggil memberi keterangan selepas ini, beliau berkata: “mana-manalah… SPRM tu kawan saya, kawan kepada PAS,” katanya.

Portal berita semalam melaporkan tiga ahli politik dijangka hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima RM90 juta disyaki daripada 1MDB yang dikatakan dimasukkan ke akaun beberapa pemimpin PAS.

Difahamkan, ketiga-tiga ahli politik itu dari pelbagai parti politik termasuk PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Dua daripada mereka akan memberi keterangan di Ibu pejabat SPRM Putrajaya manakala seorang lagi di Pejabat SPRM Kelantan.

Kesemua ahli politik tersebut dipercayai pernah berkhidmat di sebuah negeri di pantai timur.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.