Siakap Keli
Gambar : Facebook

”Esok Mak Pergi Tak Balik Lagi,” Seloroh Tinggalkan Keluarga Jadi Kenyataan

Kuala Terengganu : Seorang daripada lima beranak yang maut dalam kemalangan jalan raya dekat Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Kuala Nerus awal pagi tadi sempat berseloroh dengan anaknya, yang turut terkorban dalam nahas itu bahawa beliau akan ‘pergi’ dan tak kembali lagi.

Suami kepada Rozilawati Mustafa@Razali, 43,  Salleh Tahir, 49, hari ini berkata arwah isterinya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan pada malam sebelum kejadian pulang agak lewat iaitu kira-kira 8.30 malam kerana menyelesaikan tugasan.

Setibanya di rumah, anaknya yang bongsu yang turut terkorban, Muhammad Nashrullah merengek meminta dibuatkan susu kerana mahu tidur awal.

Rozilawati kemudian berpura-pura merajuk dan berseloroh dengan anaknya itu dan berkata: “Esok mak nak pergi, tak nak balik-balik lagi,”.

Salleh berkata, beliau mungkin kepenatan kerana baru sahaja pulang dari kerja, dan mengeluarkan kata-kata tersebut kepada anaknya dan dia tidak menyangka ia benar-benar menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, Salleh berkata dia reda dengan kejadian tersebut dan menganggapnya sebagai satu ujian daripada Allah S.W.T.

“Mereka bertolak kira-kira 9 pagi semalam dan tidak ada sebarang tanda yang mereka akan pergi meninggalkan kami.

“Cuma sebelum pergi, dia sempat pesan suruh tolong tengok-tengokkan rumah dan anak-anak lain dan saya anggap itu perkara biasalah kerana ini bukan kali pertama dia pergi berjalan jauh tanpa saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Durian Mas, Manir di sini.

Selain Rozilawati dan Muhammad Nashrullah, kemalangan itu turut meragut nyawa anak perempuannya,  Nur Syaazlien Syarizam Salleh, 21, menantu lelaki, Mohd Kharulinzam Jusoh, 38, dan cucunya, Nur Khaira Aisyah Mohd Khairulinzam yang baru berusia sembilan bulan.

Gambar : Facebook

Namun begitu, seorang lagi anak kepada pasangan suami isteri, Nur Syazlien dan Mohd Khairulinzam, Muhd Khairul Haziq, 5, parah dan sedang sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Dalam pada itu, Salleh berkata biarpun masih bersedih atas pemergian anggota  keluarganya itu, dia akan memberi tumpuan kepada kebajikan cucunya, Muhammad Khairul Haziq yang telah menjadi yatim piatu dalam sekelip mata.

Kelima-lima jenazah berkenaan telah selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Durian Mas kira-kira 4 petang ini.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.