Siakap Keli

Polis Tahan Lelaki Selepas Tular Heret Anjing Dengan Kereta

TAIPING, 12 Feb (Bernama) — Gara-gara anjing peliharaan sering menggigit wayar di dalam rumah, seorang pemilik nekad hendak membuang haiwan tersebut itu, di sini pada Ahad malam.

Bagaimanapun, haiwan itu yang diikat di bahagian belakang kenderaan jenis Isuzu Dmax untuk dibuang, terjatuh dari kenderaan itu sehingga menyebabkannya terheret di atas jalan dan insiden itu kemudiannya tular di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping Supt Razlam Ab Hamid berkata susulan penularan video tersebut, pihaknya menahan pemandu kenderaan itu seorang lelaki berumur 58 tahun, lewat petang semalam.

“Tangkapan dibuat selepas seorang lelaki membuat laporan polis pagi semalam setelah menerima satu video menerusi aplikasi Wechat pada 3.45 petang Ahad menunjukkan seekor anjing diikat pada kereta dan diheret.

“Pengadu berasa tidak puas hati dengan tindakan pemilik motokar itu kerana tidak berhati perut mengheret anjing tersebut tanpa belas kasihan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Razlam, pihaknya telah membuat semakan ke atas nombor pendaftaran kereta tersebut sebagaimana yang tular dan mendapati ia milik seorang lelaki yang merupakan anak suspek.

“Polis telah temu bual pemilik kereta dan kemudian memberitahu bahawa ayahnya menggunakan kereta tersebut pada malam Ahad lalu,” katanya.

Beliau berkata suspek yang direman selama empat hari mulai hari ini tidak menyedari anjing tersebut terjatuh ke atas jalan raya dari belakang kereta yang sedang dipandu.

Razlam berkata kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1)(a) Akta Binatang 1953.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.