Siakap Keli

Ribut Dan Ombak Kuat Antara Punca Pemancing Hilang

Enam pemancing yang hilang di perairan Pulau Pinang lebih 24 jam sejak semalam, sebelum ditemui petang ini, terpaksa mencatu makanan dan menghadapi ribut kuat ketika berada di tengah laut awal pagi tadi.

​​​​​​​Mohd Khairul Anuar Mohd Salleh, 30, yang merupakan tekong bot fiber itu berkata enjin bot yang mereka dinaiki mengalami masalah pukul 6.30 petang semalam dan beliau mengambil keputusan menurunkan sauh di kawasan perairan tersebut sementara menunggu bantuan nelayan lain.​​​​​​​​​​​​​​

“Namun sauh bot kami terputus dan bot dibawa arus ombak kira-kira 15 kilometer sebelum kami sekali lagi dilanda masalah apabila ribut kuat bermula pukul 11 malam semalam hingga 4 pagi ini. Malah arus ombak juga deras ketika itu.​

“Waktu itu saya dan lima pemancing, hanya mampu berdoa supaya kami semua selamat dan ada bantuan atau nelayan yang nampak bot kami. Sepanjang malam saya serta yang lain langsung tak tidur kerana takut apa-apa berlaku,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung, dekat sini malam ini.

Bot mereka berjaya ditemui Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang pukul 4.30 petang di kedudukan 20 batu nautika barat daya Pulau Kendi sebelum ditarik ke jeti berkenaan dan tiba pukul 10.30 malam ini.

Mohd Khairul Anuar berkata pengalaman enjin bot rosak, dan gagal menghubungi sesiapa di darat semalam merupakan pengalaman ngeri sepanjang beliau menjadi tekong dan membawa pemancing memancing sekitar perairan Pulau Pinang sejak lima tahun lepas.​​​

Katanya beliau tidak akan melupakan pengalaman buruk itu, malah akan lebih berhati-hati pada masa hadapan kerana membawa pemancing ke laut adalah perkerjaannya.​​​​​​​

“Makanan memang ada, cuma kami terpaksa catu kerana bimbang ia habis, lagipun tak tahu bila bot kami akan diselamatkan. Kami juga ada menjerit dan melambai-lambai menggunakan jaket keselamatan, bagi meminta tolong dengan bot lain namun tiada respon dari mereka,” katanya.​​​​​​​

Sementara itu, seorang daripada pemancing, Khairil Hafidzi Tajuddin, 31, berkata mereka berlima memang selalu keluar memancing bersama sejak empat tahun lepas, namun ini kali pertama bot mereka naiki mengalami kerosakan.​​​​​​​

​​​​​​​Bagaimanapun, menurutnya pengalaman itu tidak akan mematahkan semangat mereka meneruskan hobi memancing pada masa hadapan.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa. Alhamdulillah kami semua selamat dan dapat kembali ke darat,” katanya.

— BERNAMA

Nur Farra