Siakap Keli
Gambar Hiasan

Lelaki Tidak Terkecuali Jadi Mangsa Gangguan Seksual

SUNGAI PETANI, 14 Feb (Bernama) — Kaum lelaki juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa gangguan seksual di tempat kerja, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.

Beliau berkata berdasarkan statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 2013 hingga 2017, 257 lelaki dilaporkan menjadi mangsa daripada keseluruhan 1,218 kes gangguan seksual.

“Selebihnya adalah mangsa wanita…memang ada kes gangguan seksual ini melibatkan lelaki yang kadang kala mangsa malu untuk membuat laporan kerana takut ada yang tidak percaya yang mereka lelaki pun menjadi mangsa gangguan seksual ini. Ini antara halangan dihadapi mangsa untuk buat laporan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar ‘Pengendalian Gangguan Seksual di Tempat Kerja’ di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Utara di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Kanan INTAN Dr Mohd Bakhari Ismail.

Yeoh berkata sehubungan itu laporan oleh pengadu tentang gangguan seksual berkenaan tidak boleh diabaikan sebaliknya perlu diberikan perhatian serius supaya siasatan lanjut dapat dijalankan sebaik mungkin.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya beliau berkata sejumlah 1,187 daripada 1,218 kes itu masih dalam siasatan manakala 31 orang telah pun dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Yeoh percaya masih terdapat kes gangguan seksual di tempat kerja yang tidak dilaporkan berikutan terdapat pelbagai faktor menyebabkan ramai mangsa tidak melaporkan gangguan itu antaranya disebabkan mekanisme membuat laporan dan siasatan terhadap pesalah laku mengambil masa terlalu lama.

“Sedangkan, mangsa terpaksa berdepan dengan pesalah laku di tempat kerja sepanjang tempoh siasatan dilakukan. Ini mengakibatkan mangsa akan mengalami trauma berganda termasuk kesan daripada pandangan rakan-rakan sekeliling di tempat kerja.

Di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kita kini sedang menunggu hasil kajian impak yang akan dijadikan panduan dalam menggubal Akta Gangguan Seksual supaya kelemahan perundangan dan peraturan sedia ada dapat diperbaiki,” katanya.

Beliau berkata Akta Gangguan Seksual yang bakal digubal juga antaranya akan memberi fokus kepada menghukum pihak yang mendiamkan laporan atau aduan salah laku, dan memperbaiki mekanisme untuk memudahkan mangsa membuat laporan.

Dalam pada itu, katanya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah pun mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5, Tahun 2018 berhubung ‘Garis Panduan Pengendalian Kes Gangguan Seksual di Tempat Kerja’ yang berkuat kuasa mulai 12 Dis tahun lepas bagi menggantikan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 22, Tahun 2005.

Yeoh berkata pekeliling itu dikeluarkan untuk menambah baik prosedur sedia ada dalam mengendalikan kes gangguan seksual serta mempercepatkan proses tindakan tatatertib yang boleh diambil ke atas pegawai awam yang disyaki terlibat.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di