Siakap Keli
Gambar : Google

Masih Enggan Vaksin Anak? Anak-Anak Tuan Itu Cuma Bertuah Dapat Hidup Selamat Sebab Orang Lain

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Imunisasi bayi merupakan hal yang paling penting dilakukan oleh ibu bapa supaya dapat mencegah anak-anak daripada terkena sebarang penyakit. Namun, ramai ibu bapa yang masih mempunyai tahap pengetahuan rendah dengan mengabaikan imunisasi atas alasan anak mereka berada dalam keadaan baik sahaja?

Usah pentingkan diri sendiri kerana anak-anak anda yang tidak mendapat imunisasi sebenarnya selamat kerana berada dalam lingkungan mereka yang sudah mendapat imunisasi. Istilah ini dalam bidang perubatan dipanggil sebagai ‘herd immunity’.

Bagaimana perkara ini berlaku? Ikuti kupasan oleh seorang pelajar perubatan mengenai isu ini seperti di bawah. Moga dapat memberi manfaat dan menjentik kesedaran ‘ibu-bapa anti vaksin’.

HERD IMMUNITY

Kita sering menutup mulut apabila bersin dan batuk dengan menggunakan tisu, sapu tangan, malah dengan tangan kita sendiri.

Ya, secara tidak langsung selain menunjukkan etiket sosial yang baik, itu juga merupakan langkah yang terbaik dalam menjaga kesihatan dengan cara mengelakkan kotoran (penyakit) daripada mencemarkan persekitaran dan merebak kepada orang lain.

Vaksin juga bertindak sama seperti ini. Bezanya, peranan vaksin ini jauh lebih meluas dan menyeluruh. Bahkan, terbukti memberi perlindungan yang berkesan dalam komuniti berskala besar.

“Anak saya 3 orang sihat saja. Mereka tidak perlu pun mengambil vaksin”

Sebenarnya, anak tuan dapat hidup sejahtera bukan kerana tidak mengambil vaksin. Tetapi kerana dilindungi oleh masyarakat sekeliling yang mengambil vaksin. Imunisasi tinggi yang bertindak sebagai benteng ini berlaku apabila jumlah mereka sangat ramai yang divaksin dalam sesebuah komuniti.

Pendek kata, mereka semua ini bertindak menjadi perisai kepada anak-anak tuan. Tentu sekali, semuanya ini dengan izin Allah S.W.T.

Anak-anak tuan dapat hidup selamat kerana perlindungan yang diwujudkan oleh orang sekeliling secara tidak langsung. Bertuah namanya, tuan. Kami menyebutnya dalam bidang perubatan sebagai “Herd Immunity”

Namun bertuahnya anak-anak tuan ini tidak kekal selamanya. Sekiranya mereka yang tidak divaksin ini diletakkan dalam komuniti yang kebetulan berimunisasi rendah pula, risikonya menjadi besar. Tuan mahu menggadaikan anak-anak tuan menjadi mangsa dalam komuniti tersebut?

Anak-anak tuan mesti akan keluar rumah juga kan? Ke taman. Ke sekolah. Ke kedai makan. Ke pasar tani. Ke masjid. Ke rumah kawan. Mungkin suatu hari nanti mereka akan merantau jauh pula ke negeri orang. Yakinkah mereka ini berada dalam kelompok yang dilindungi setiap masa?

Justeru, gunakanlah masa dan kesempatan yang ada ini untuk mencegah diri kita dan keluarga daripada menjadi agen sebaran penyakit yang berbahaya.

Memang betul baik buruk seseorang itu hanyalah dengan kuasa Allah S.W.T jua. Namun kita juga perlu sedar akan pilihan baik buruk yang tersedia untuk manusia. Kita diberikan akal untuk memilih mana yang baik dan mana yang memberi bahaya. Gunalah akal sebaiknya dengan merujuk para alim ulama dan pihak berautori dalam membuat sesuatu tindakan.

Berusahalah dengan vaksin, seterusnya kepada Tuhan jualah kita berserah. Bukannya awal-awal lagi kita berserah tanpa berfikir, kemudiannya akhir sekali kepada Tuhan pula kita salahkan.

Ingat CEGAH sebelum PARAH!

#NotaKesihatanMesir

MUHAMMAD NABIL BIN AZHAR
Pelajar Tahun Akhir,
Jurusan Perubatan,
Universiti al-Azhar

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.