Siakap Keli

Stephen Chow Sahkan Filem Aksi Komedi, Kung Fu Hustle 2 Dalam Pembikinan

Masihkah anda ingat dengan Kumpulan Kapak dan Sing dalam filem aksi komedi Kung Fu Hustle?

Anda sebenarnya cukup bertuah kerana pengarah filem terkenal, Stephen Chow, 56, yang juga menjadi teraju utama filem berkenaan mengesahkan sekuel, Kung Fu Hustle 2 dalam proses penggambaran ketika ini.

Perkara bekenaan didedahkan Chow dalam satu sesi temu bual bersama media di Guangzhou Selasa lepas.

”Ya, walaupun ia tidaklah terlalu sama dengan filem pertama kerana filem baru ini mengambil latar belakang moden di sebuah negara asing dan mempunyai jalan cerita sendiri.

”Tetapi ya, gaya pengarahan dan konsep tetap sama seperti Kung Fu Hustle,” katanya.

Walaupun lebih kepada reboot berbanding sekuel, Chow memberitahu bahawa dirinya tetap terlibat sebagai pelakon namun bukan sebagai teraju utama atas faktor umur.

”Saya mungkin memilih orang lain untuk bertarung dalam filem ini. Saya sudah tidak mampu berlawan dengan baik lagi,” katanya lagi.

Filem Kung Fu Hustle pertama mengambil latar masa 1930-an di Shanghai, yang memberi fokus kepada watak Sing, lakonan Chow sendiri yang terdesak untuk menjadi seorang gangster.

Sing kemudian bertindak menyelinap masuk dan menyertai Kumpulan Kapak, iaitu sebuah kumpulan gangster yang gemar membuat kacau.

Filem yang menelan belanja pembikinan sebanyak $20 juta (RM 81 juta) itu berjaya mendapatkan pulangan sebanyak $102 juta (RM 414 juta) di seluruh dunia selain berjaya meraih 6 anugerah di Hong Kong Film Awards dan lima anugerah Golden Horse Awards.

Sumber: Dailymail

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.