Siakap Keli

Pernah Popular Di Rantau Asia, Sekuel Baru Drama Popular Winter Sonata Bakal Jalani Penggambaran

Sebuah drama Korea yang pernah popular di rantau Asia sekitar 2000, Winter Sonata bakal menjalani penggambaran sekuel baru tidak lama lagi, menurut The Korean Times.

Akhabar berkenaan melaporkan sumber daripada sebuah produksi mendedahkan bahawa proses penggambaran bakal dimulakan, bagaimanapun tidak mendedahkan senarai nama pelakon. Manakala Kim Yong-soo, pengarah siri popular Home of the Legends dikhabarkan akan mengambil tanggungjawab menjadi pengarah sekuel berkenaan.

”Kami sedang berbincang dengan penulis skrip mengenai perincian drama ini sebelum memulakan penggambaran,” kata sumber berkenaan.

Pengarah asal drama berkenaan, Yoon Suk-ho dilaporkan menolak pelawaan untuk menjadi pengarah sekuel baru tersebut atas alasan menghormati kematian salah seoarang teraju utama, Park Yong-ha pada 2010.

Drama Winter Sonata mula menjadi popular di seluruh Asia bermula tahun 2002 sehingga diangkat sebagai antara drama Korea paling berjaya pernah dihasilkan.

Selain diedarkan sehingga ke Timur Tengah, Winter Sonata juga dianggap sebagai pemula kepada gelombang industri hiburan Korea Selatan memasuki pasaran beberapa buah negara di Amerika Selatan.

Pelakon utamanya, Bae Yong-joon dan Choi Ji-woo juga meraih populariti mendadak melalui drama berkenaan.

Sumber: The Korean Times

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.