Siakap Keli
BERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Syed Saddiq Dakwa Nyaris Diserang Sekumpulan Penyokong Pembangkang

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) — Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa beliau nyaris diserang sekumpulan penyokong pembangkang selepas selesai proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, pagi tadi.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan itu berkata beliau sedang menuju ke kereta tanpa ditemani pemandunya memandangkan beliau tidak bertugas sebagai menteri dalam aktiviti hari ini.

“Hari ini saya tiada driver sebab tidak bertugas sebagai menteri, dalam perjalanan ke kereta saya nyaris diserang oleh penyokong BN. Bila dimaki saya hanya beri salam dan terus bergerak ke hadapan tetapi mereka kejar saya.

“Bila diserbu, pihak polis yang berdekatan datang bantu. Unit Amal (PAS) yang nampak insiden pun datang untuk bantu kerana mereka nampak reaksi fizikal beberapa penyokong BN,” katanya menerusi Instagram rasminya, di sini, hari ini.

Menerusi perkongsian video berdurasi satu minit itu, kelihatan puluhan orang berbaju biru mengerumuninya seakan menunggu untuk menyerang beliau.

Syed Sadiq berkata beliau menghormati pandangan orang ramai yang ingin mencaci dengan apa sahaja kata cemuhan kerana itu adalah hak mereka.

“…tetapi kalau sampai nak guna serangan fizikal, that’s too much!” tambahnya.

Syed Saddiq turut berkata insiden itu mengingatkannya tujuan asal beliau memasuki dunia politik.

“Sedih saya lihat budaya gangsterisme yang menular dalam kalangan masyarakat kita. I want to be a “Yang Berkhidmat” which serves all Malaysians regardless of race, religion and political ideologies. Kerana Malaysia menyatupadukan kita semua,’ katanya.

Satu laporan polis berkaitan kejadian serangan itu akan dibuat Syed Saddiq di Balai Polis Sungai Way hari ini.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.