Siakap Keli

Pelajar Sekolah Boleh Jadi ‘Mata Dan Telinga’ Polis – Timbalan Ketua Polis

Pelajar sekolah boleh menjadi ‘mata dan telinga’ pihak polis dalam usaha mengekang kegiatan jenayah terutama penglibatan pelajar dengan najis dadah.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob berkata pelajar boleh menyalurkan apa sahaja maklumat jenayah kepada pihak polis atau menerusi Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).

“Polis tidak boleh sentiasa berada di sekolah-sekolah, oleh itu pelajar perlu turut membantu menyalurkan apa jua maklumat kepada pihak polis.

“Mereka (pelajar) tidak perlu takut kerana identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan dan dilindungi, segala maklumat akan dikumpul dan diambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas  Majlis Pemuafakatan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Seri Rampai di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Ismail Musa.

Sementara itu, Ismail berkata pihaknya bekerjasama dengan pihak polis serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi mengekang penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah.

“Pelbagai program dilaksanakan di 301 sekolah di Wilayah Persekutuan, fokus utama adalah memberi pendedahan bahaya dadah serta rokok,” katanya.

Pada 8 Feb lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata pelajar sekolah kini tidak hanya terlibat dengan kegiatan ponteng sekolah, vandalisme dan buli tetapi turut berjinak-jinak dengan jenayah yang lebih ekstrem.

Berdasarkan statistik narkotik, 467 tangkapan melibatkan pelajar sekolah dibuat pada tahun 2017 dan angka itu meningkat kepada 577 tangkapan tahun lepas.

— BERNAMA

Nur Farra