Siakap Keli

Thailand Berdepan Cuaca Panas 3 Bulan Bermula Khamis

Thailand dijangka berdepan cuaca panas dengan suhu antara 35 dan 38 darjah Celcius bermula Khamis ini hingga Mei, iaitu secara puratanya satu hingga dua darjah lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Thailand Phuwieng Prakhammintara berkata pihaknya mengeluarkan amaran awal kepada  penduduk di negara itu agar mereka lebih bersedia menghadapi cuaca panas berkenaan.

Sepanjang tempoh ini, warga emas serta kanak-kanak dinasihati sentiasa berada di dalam rumah selain minum air secukupnya bagi mengelakkan strok haba manakala yang bekerja di luar pula diminta mengambil langkah sewajarnya, kata beliau ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Media tempatan melaporkan Thailand dijangka mencatatkan suhu 35 hingga 37 darjah Celcius bagi Februari hingga Mac manakala April hingga Mei pula diramal merekodkan suhu antara 36 dan 38 darjah Celcius.

Bandar raya ini pula dijangka mencatatkan suhu 35 hingga 37 darjah Celcius untuk bulan Februari hingga Mac sementara untuk tempoh April-Mei, suhu dijangka sekitar 36 dan 38 darjah Celcius.

Menurut laporan akhbar harian berbahasa Inggeris ‘The Nation’, suhu luar biasa tinggi antara 40 dan 44 darjah Celcius diramalkan di tujuh provinsi  di utara dan barat Thailand iaitu Mae Hong Son, Lampang, Uttaradit, Sukhothai, Tak, Nakhon Sawan dan Kanchanaburi.

“2019 dijangka menjadi tahun terpanas kedua sejak 1850,” demikian menurut laporan itu.

Thailand merekodkan suhu tertinggi  pada 44.6 darjah Celsius di Mae Hong Son yang terletak di utara negara itu pada 28 April 2016.

–BERNAMA

Nur Farra