Siakap Keli
Gambar : theverge.com

Ditipu Kenalan Wechat, Wanita Alami Kerugian RM58,570

Kuantan : Seorang wanita kerugian RM58,570 selepas terpedaya dengan tawaran membeli saham sebuah syarikat oleh kenalan yang dikenali melalui aplikasi Wechat pada Oktober tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 36 tahun dari Taman Baru Sempalit, Raub telah berkenalan dengan suspek sebelum ditawarkan untuk membeli saham daripada sebuah syarikat berpangkalan di Hong Kong yang menawarkan pulangan RM186,000.

“Susulan itu, mangsa telah melakukan transaksi bayaran sebanyak RM20,535 seperti yang diminta pada 21 Jan lepas ke dalam akaun luar negara yang diberikan oleh suspek,” katanya kepada sumber di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa terus diperdaya bagi membuat bayaran proses dan komisen jualan saham berkenaan dengan kali terakhir transaksi dilakukan pada 9 Feb lepas dengan jumlah keseluruhan bayaran yang dilakukan RM58,570.

Selepas kesemua bayaran berkenaan dibuat, katanya mangsa cuba menghubungi suspek namun gagal dan mengesyaki telah ditipu sebelum satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, penjara dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan pula, seorang juruteknik wanita mengalami kerugian RM20,900 selepas diperdaya dengan tawaran pinjaman palsu di sini yang ditawarkan oleh seorang lelaki menerusi laman sosial Facebook Rabu lepas.

“Mangsa berumur 29 tahun dikatakan telah berurusan dengan lelaki itu untuk mendapatkan pnjaman peribadi sebanyak RM25,000 sebelum diminta untuk membuat beberapa bayaran bagi proses pinjaman berkenaan dengan jumlah keseluruhan RM20,900,” katanya.

Katanya, mangsa merasai ditipu setelah diminta membuat bayaran sebanyak RM2,600 lagi untuk proses pembatalan pinjaman berkenaan.

Beliau berkata, laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes turut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.