Tular di media sosial baru-baru ini, satu gambar bunting pengambilan pelajar tajaan biasiswa oleh sebuah hosital swasta terkenal yang didakwa netizen bersifat ‘racist.’
Di dalam gambar tersebut, bunting berkenaan memaparkan hospital swasta itu memberikan tawaran “Full Scholarship” dengan meletakkan syarat-syarat kepada pelajar. Tetapi berdasarkan apa yang dinyatakan, pemilihan calon adalah lebih cenderung kepada bangsa dan agama tertentu sahaja.
Secara tidak langsung, isu ini telah menimbulkan rasa kurang senang netizen kerana sebuah hospital yang menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat seharusnya tidak mencerminkan nilai ‘rasisme’ dalam sebuah negara yang berbilang bangsa.
Tampil memberi penjelasan, Hospital Pantai dalam satu kenyataannya memohon maaf dan mendakwa bahawa isi kandungan yang tersiar adalah satu kesilapan kerana dilakukan oleh pekerja tanpa keizinan dari pihak atasan. Ikuti kenyataan mereka seperti di bawah.
Kami meminta maaf kepada isi kandungan yang tersiar di dalam bunting biasiswa kami.
Bunting tersebut diletakkan oleh pekerja tanpa keizinan terlebih dahulu dan tidak melambangkan nilai organisasi kami.
Kami telah membetulkan maklumat tersebut dalam masa segera selepas menyedari kesilapan kami. Kami mengambil sepenuhnya tanggungjawab untuk kesilapan ini dan memberi jaminan bahawa ianya tidak akan berulang lagi.
Di Hospital Pantai, kami mengamalkan dasar pekerjaan yang adil dan kami tidak membenarkan apa-apa amalan yang memudaratkan hak mana-mana kaum atau agama.
Kami dengan ikhlas meminta maaf di atas segala kesulitan yang ditimbulkan.
Sumber : Pantai Hospital Sungai Petani