Siakap Keli

Selepas 20 Tahun Bergelar Ratu Skuasy Negara, Nicol David Umum Akan Bersara Tahun Ini

Ratu Skuasy Wanita negara, Dato’ Nicol Ann David hari ini mengumumkan pesaraan beliau sebagai pemain skuasy wanita negara. Pengumuman itu dibuat melalui akaun rasmi Facebook beliau beberapa jam yang lepas.

“Saya betul-betul gembira dan teruja untuk memberitahu bahawa saya akan bersara pada bulan Jun tahun ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong saya selama 20 tahun ini dan sudah tiba masanya menunggu peluang yang baru,” kata Nicol.

Nicol Ann David telah membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa beliau seorang atlet yang paling berjaya dalam karier beliau sebagai seorang pemain skuasy.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu bukan sahaja handal di atas gelanggang malah beliau juga cemerlang dalam akademik apabila beliau berjaya mendapat 7A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sepanjang karier Nicol dalam arena sukan skuasy, beliau berjaya meraih 81 gelaran dan 101 Tours Finals. Beliau juga berjaya meraih sebanyak 8 kali sebagai Juara Dunia.

Nicol Ann David juga memegang rekod paling lama sebagai pemain skuasy wanita nombor satu dunia iaitu selama 108 bulan sejak tahun 2006 sebelum menyerahkan ranking tersebut kepada pemain dari Mesir, Raneem El Weleily pada tahun 2015.

Sejak remaja lagi, Nicol Ann David telah menunjukkan kredebiliti beliau sebagai pemain skuasy apabila menjadi pemain pertama berjaya meraih gelaran Remaja Dunia sebanyak 2 kali.

Pada 7 Jun 2008, Nicol mendapat penghargaan Darjah Bakti (D.B) yang membawa gelaran Dato’ daripada Sultan Negeri Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ketika Hari Keputeraan baginda. Nicol Ann David adalah penerima pertama anugerah tersebut dan setakat ini hanya 10 orang sahaja yang menerima anugerah itu.

Semoga Dato’ Nicol Ann David terus menyumbang dalam arena sukan skuasy kerana pengalaman serta tunjuk ajar daripada beliau sangat ditanggih oleh pemain-pemain baru. Selamat Maju Jaya Dato’ Nicol Ann David

 

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)