Siakap Keli

51 Laporan Polis Dibuat Berhubung Penghinaan Terhadap Nabi Muhammad

Johor Bahru : Polis Johor setakat ini menerima sebanyak 51 laporan polis berhubung tindakan seorang pemilik akaun Facebook yang dilihat mempersenda Nabi Muhammad SAW dan menghina kesucian agama Islam dalam laman sosial itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor SAC Md. Yusof Ahmad berkata 16 daripada laporan dibuat di Johor Bahru; 14 (Batu Pahat); enam (Seri Alam) (Pasir Gudang); masing-masing lima (Pontian dan Kluang); dan masing-masing satu di Iskandar Puteri, Kota Tinggi, Kulai, Mersing dan Segamat.

“Susulan laporan, polis telah menjalankan siasatan dibawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM),” katanya ketika dihubungi sumber di sini, malam ini.

Semalam, seorang pemilik akaun Facebook menggunakan  nama  Foo Sing Wai  didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda Saidatina Aisyah, yang mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini kerana disifatkan amat keterlaluan dan melampau.

Sehubungan itu polis hari ini menahan seorang warga emas berusia 68 tahun di sebuah taman perumahan   di Mentakab, Temerloh, Pahang pada pukul 11.30 pagi tadi bagi membantu siasatan terhadap dakwaan menghina Nabi Muhammad SAW di laman Facebook miliknya.

Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zuhdin Mahmud ketika dihubungi hari ini berkata suspek akan dihantar ke Johor memandangkan laporan polis dibuat di Batu Pahat.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.