Siakap Keli
Gambar Hiasan

Kronologi Kebakaran Yang Mengorbankan Mangsa Sejak Awal Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) — Berikut adalah kejadian kebakaran yang mengorbankan nyawa di seluruh negara dalam tempoh dua bulan tahun ini :

– 7 Jan 2019 : Seorang lelaki dikenali sebagai S.Krishnan, 55, yang lumpuh separuh badan akibat kemalangan lima tahun lepas, rentung dalam kejadian kebakaran di rumahnya di Jalan Keembong 18, Taman Johor Jaya, di Johor Bahru, kira-kira pukul 5.30 petang.

– 9 Jan 2019 : Seorang peniaga Ooi Hock Chuan, 63, ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran di rumah teres dua tingkat di Taman Pinji Mewah di Ipoh, Perak pada pukul 4.14 pagi.

– 13 Jan 2019 : Seorang kanak-kanak lelaki ditemui rentung dalam kontena menyimpan barangan lama dalam kebakaran di padang permainan Kampung Jawa, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada pukul kira-kira 12.15 tengah hari.

– 28 Jan 2019 : Dua penjawat awam Wan Mohd Baharul Nizam Wan Bakar, 35, dan Norwahidah Abdul Hamid, 28, yang bertugas di Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya dilaporkan maut dalam kebakaran di rumah teres setingkat di Taman Desa Vista, Sepang pada kira-kira pukul 1 tengah hari.

– 20 Feb 2019 : Awal hari ini, enam termasuk tiga warga asing serta seorang yang belum dikenal pasti maut dalam kebakaran sebuah pusat hiburan di Ipoh, Perak.

Kebakaran di tingkat empat sebuah bangunan di Jalan Raja Dr Nazrin Shah kira-kira 5.40 pagi tadi turut menyebabkan dua kritikal sementara tujuh lagi selamat.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.