Siakap Keli

Permainan Lagenda Paling Ditakuti Di Jepun Kerana Hantu Betul Akan Muncul

Pastinya ramai yang pernah bermain sorok-sorok sewaktu kecil. Seorang akan mencari dan yang lain akan bersembunyi di suatu tempat. Dalam kiraan 1.. 2.. 3.. bunyi tapak kaki akan mencari anda.. semakin lama semakin kuat.. tiba-tiba… bump! yang muncul bukanlah si pencari tetapi lembaga misteri di hadapan anda. Seram!

Lagenda Hitori Kakurenbo

Tahukah anda, terdapat sebuah permainan yang seakan sama wujud di Jepun sekitar tahun 2007 iaitu lagenda Hitori Kakurenbo. Bezanya, permainan sorok-sorok ini boleh dimainkan berseorangan tanpa teman. Dalam permainan ini, sebuah boneka akan digunakan bagi memanggil roh yang telah meninggal. Boneka akan ditinggalkan di satu tempat mengikut ritual-ritual dan peraturan permainan.

Gambar Sekadar Hiasan

Jika ingin selamat dalam permainan ini, pemain harus menyelesaikannya dengan tetap bersembunyi walau mendengar pelbagai gangguan. Pemain perlu berlari semula ke boneka yang ditinggalkan dengan berteriak ‘aku menang’ sebanyak tiga kali. Jangan lupa untuk membakar boneka tersebut sehingga habis. Namun awas, tidak semudah itu untuk ‘menang’ kerana anda bukan bermain dengan manusia.

Ritual permainan ini dikatakan benar-benar menjadi hingga mengakibatkan gangguan emosi kepada pemain! Namun, kebenarannya kekal menjadi misteri hingga kini. Mungkin ada yang tidak merasakan apa-apa kesan setelah bermain, tetapi mereka yang pernah melalui ‘gangguan’ pasti akan serik!

Filem Berdasarkan Lagenda

Layar perak Indonesia yang tidak asing lagi dengan filem seram hingga membuatkan bulu roma penonton meremang kini akan menghantui anda berdasarkan kepada lagenda ini. Diarahkan oleh Billy Christian, dan dibarisi oleh pelakon utama Miller Khan dan watak pembantu seperti Nicky Tirta, Ario Astungkoro dan Novinta Dhini membuatkan jalan cerita lebih menyengat.

Filem baharu seram yang diberi nama ‘Hide & Seek Minako’ ini mengisahkan mengenai sekumpulan remaja yang mengadakan ‘reunion’ dengan kembali ke sekolah lama mereka.

Salah seorang dari rakan mencadangkan agar mereka bermain permainan lagenda Hitori Kakurenbo. Tanpa mengetahui nasib malang yang bakal menimpa, mereka menggunakan sebuah boneka Itchimasu dari Jepun bernama Minako dalam permainan sorok-sorok tersebut. Suasana reunion yang cerita kini bertukar menjadi pengalaman ngeri yang tak dapat dilupakan.

Menghantui Di Semua Pawagam 28 Februari Ini

Filem ‘Hide & Seek Minako’ akan menemui penonton di semua pawagam seluruh Malaysia pada 28 Februari ini. Bagaimana permainan ini ditamatkan? Siapa yang menang dalam permainan Hide & Seek Minako’, hantu atau manusia?

Jangan lupa ‘lock date’ anda pada tarikh tersebut. Bawa teman, kerana kami risau ada yang ikut pulang nanti!

Tonton Trailer Seram ‘Hide & Seek Minako’

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.