Siakap Keli

(Video) Hanya Kerana Gula-Gula Getah, Kanak-Kanak Jadi Mangsa Pukul

Ipoh : Gara-gara melekatkan gula-gula getah di bahagian depan kereta seorang pekerja Rumah Kanak-Kanak (RKK) di Taiping, seorang kanak-kanak menjadi mangsa pukul.

Exco Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak, Wong May Ing berkata marah dengan tindakan kanak-kanak itu, pekerja terbabit bertindak menarik baju dan memukul bahagian belakang serta pipi mangsa.

“Punca kejadian tersebut dikenal pasti berdasarkan kepada laporan sosial Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Video seorang lelaki memukul dengan tangan beberapa kali di bahagian tengkuk seorang budak lelaki yang dipercayai penghuni rumah kanak-kanak itu, tular sejak minggu lepas.

Semalam, polis mengambil keterangan seorang lelaki yang disyaki memukul kanak-kanak itu selepas seorang pengadu membuat laporan polis pada 8.30 malam hari Ahad.

Menurut Wong, tindakan bawah peruntukan JKM sukar diambil kerana RKK Taiping adalah bawah kendalian badan bukan kerajaan dan bukan bawah jagaan JKM. Maka, siasatan serta tindakan lanjut diserahkan kepada pihak yang berkenaan, katanya.

Selain itu, beliau berkata ibu kanak-kanak terlibat bercadang untuk membawa pulang anaknya selepas berbincang dengan JKM.

“Saya juga difahamkan bahawa ibunya pernah menerima bantuan kanak-kanak, namun bantuan itu telah ditamatkan akibat penempatan anaknya ke RKK. 

“Bagaimanapun, bantuan tersebut akan disalurkan semula jika beliau (ibu kanak-kanak itu) menepati garis panduan syarat permohonan kebajikan,” katanya.

Beliau turut menyelar perbuatan pekerja RKK Taiping yang memukul kanak-kanak di premis tersebut kerana penghuni merupakan kanak-kanak yang kurang matang dan mempunyai masalah pembelajaran.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.