Siakap Keli
Gambar Kredit: JKR Kuala Pilah

Kuala Pilah Bakal Jadi Hab Lembah Makanan

Daerah Kuala Pilah akan menjadi salah satu daerah di Negeri Sembilan yang akan berfungsi sebagai hab lembah makanan dan pengeluar sumber makanan utama kepada Lembah Klang, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baru negeri Teo Kok Seong.

Beliau berkata ia juga akan menjadi pusat kecemerlangan bagi pengeluaran dan pemprosesan makanan berasaskan bioteknologi serta melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertanian melalui kerjasama institusi awam, institut pengajian tinggi dan sektor swasta.

“Dalam perancangan pembangunan jangka panjang ini telah meletakkan daerah Kuala Pilah sebagai salah satu daerah yang akan dibangunkan sebagai kluster pembangunan agropolis di negeri ini. Agropolis merupakan pembangunan yang menerapkan elemen perbandaran ke sebuah petempatan desa dan dibangunkan sebagai bandar pertanian yang menggunakan teknologi bagi meningkatkan hasil pengeluaran tanaman.

Pembangunan agropolis adalah terdiri daripada 30 peratus perbandaran dan selebihnya merupakan kawasan pertanian, hutan simpan kekal dan badan air,” katanya ketika merasmikan Program Publisiti Awal Rancangan Tempatan Daerah Kuala Pilah 2035 di sini, hari ini. Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Sembilan Hasnan Iberahim dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah Syahrul Nizam Saleh.

Selain itu, katanya Daerah Kuala Pilah yang mempunyai pelbagai produk warisan dan pelancongan juga akan dibangunkan secara menyeluruh melalui pembangunan projek Pusat Budaya Negeri Sembilan.

Katanya projek berimpak tinggi yang digariskan dalam Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045 akan dilaksanakan melalui dua strategi utama iaitu pelancongan warisan dan budaya serta penjenamaan semula dan pengukuhan karektor pelancongan warisan di Kuala Pilah dan Bandar Diraja Seri Menanti.

“Apa yang pasti perancangan pembangunan yang dipetakan oleh kerajaan negeri bagi Daerah Kuala Pilah ini adalah selari dengan kelebihan dan kekuatan serta potensi yang tersedia ada di daerah ini,” katanya.

Teo berkata perancangan pembangunan Daerah Kuala Pilah pada masa ini dipandu berdasarkan kepada Rancangan Tempatan Daerah Kuala Pilah 2020 yang telah diwartakan pada 1 Sept 2011.

Bagaimanapun, katanya di peringkat negeri, perancangan pembangunan Daerah Kuala Pilah telah dicorakkan semula melalui penyediaan Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045 yang telah diwartakan pada 15 Mac 2018.

Sementara itu, Syahrul Nizam berkata keperluan mengadakan publisiti awal itu adalah untuk memaklumkan kepada orang awam dan pemegang kepentingan mengenai penyediaan draf rancangan tempatan.

Katanya publisiti awal itu sememangnya wajib dilaksanakan bagi memberi hebahan kepada pihak berkepentingan berkaitan dengan cadangan penyediaan rancangan tempatan dan seterusnya mendapatkan maklum balas awal berhubung dengan isu semasa dan cadangan.

— BERNAMA

Nur Farra