Siakap Keli

Petala Indera, Petala Kepak Indera, Petala Indera Maha Sakti Dan Tandu Chendera Wati, Meriahnya Majlis Berkhatan Di Kelantan Dahulu Kala

Petala Indra atau dikenali sebagai Pertala Kepak Indra merupakan sebuah tandu atau pedati yang digunakan pada zaman semasa kedatangan Islam di Kelantan dalam upacara berkhatan terutamanya kepada golongan diraja Kelantan. Difahamkan upacara berkhatan bagi negeri di Kelantan dan juga Patani dilakukan secara lebih meriah berbanding dengan negeri-negeri lain di semenanjung Tanah Melayu. Hal ini demikian kerana, semasa Islam mula diperkenalkan di Kelantan sudah ada upacara dari agama lain yang menyerupai upacara berkhatan. Semasa perarakan besar, Putera dan kerabat diraja disambut di sekitar Kota Bharu melalui kereta pemasar (kereta berhias) yang berupa seekor burung besar.

Difahamkan Burung tersebut merupakan Burung Petala atau Burung Gagak Sura yang berasal dari kerajaan Pattani pada abad ke-19.  Perayaan-perayaan ini berasal dari perarakan besar sejarah yang telah wujud semasa era pra-Islam di pantai utara Semenanjung Tanah Melayu. Berdasarkan rekod lama yang tercatat dalam kerajaan Chih Tu yang mana mereka akan menyambut kedatangan duta besar China akan menggunakan cara yang sama kerana beranggapan bahawa sebahagian besarnya berasal dari adat yang memegang setiap delegasi negeri harus disambut serupa sebagai kembalinya dewa-dewa dari syurga. Hasilnya, kerajaan itu berjaya memperoleh hubungan diplomatic yang kuat dengan China kuno yang berasal dari perayaan epic untuk delegasinya. Setelah berada di bawah jajahan takluk British, kerajaan British telah merekodkan sebanyak 3 kali perarakan upacara berkhatan putera Kelantan yang cukup epik pada tahun 1919, 1923, dan 1933.

Asal Usul Burung Petala

Pada awal abad ke-20, Ghulam-Sarwar Yousof telah merekodkan bahawa Sultan bermimpi mengenai Burung Petala Wati yang merupakan penjaga bagi negeri Kelantan. Atas sebab itu, Sultan telah mengerahkan rakyat untuk membina arca berupa burung gergasi untuk puteranya. Manakala, terdapat lagi satu mitos yang menyatakan asal usul Petala Wati adalah disebabkan pembinaan tersebut telah menggambarkan kehebatan raja Kelantan dan untuk membantu penjajah British pada masa itu yang telah tertarik dengan budaya Melayu, warisan dan cerita rakyat tempatan.

Burung Gagak Sura yang dikatakan berasal dari Pattani
Gambar: Wikipedia

Motif, Hiasan Pedati dan Tandu

Umum sedia maklum, sejak zaman dahulu lagi, negeri Kelantan dan Pattani gemar menggunakan tema-tema dari hikayat lama bagi menjadikan sesuatu upacara atau tradisi itu lebih meriah. Ianya juga telah menjadi tradisi raja-raja lama yang boleh kita susur kembali kepada catatan pada era Chih Tu saat kedatangan duta besar dari kerajaan China ke kota purba itu. Sememangnya kita boleh baca dan perasan sebenarnya ada satu tema epik yang telah diguna pakai oleh kerajaan tersebut untuk menyambut kedatangan duta asing yang disambut ibarat kedatangan dewa masuk ke kayangan sehingga kerajaan Chih Tu telah mendapat satu reputasi baik, diutamakan serta kekal dalam ingatan negara China jika dibandingkan dengan kerajaan sekitarnya yang sememangnya ada yang lebih baik dan lebih luas dari Chih tu itu pada eranya sehinggalah era Sriwijaya Mala.

Berdasarkan catatan Paul J. Coatalen mengenai simbol dan makna pada Petala Indra diraja Kelantan lebih membicarakan kepada semangat animisme didalam kisah hikayat antara janji nenek moyang raja kepada pahlawan setia iaitu Hikayat Isma Dewa Pekerma Raja. Dia juga turut sependapat dengan Haji Mubin Sheppard dalam ‘Processional Birds Of Kelantan’ dan “The Giant Bird” yang menyatakan pengaruh hindu dalam membicara mengenai identiti burung mitos Pertala Seri Kelantan di antara helang, burung camar laut, dan garuda atau Jentayu daripada hikayat Ramayana.

Pada masa itu juga, Sultan dan rata-rata rakyat jelata Kelantan sudah agak sinonim dan lebih mengenali Hikayat Maharaja Wana melalui persembahan hiburan tradisional pada zaman dahulu seperti Wayang Kulit Tradisional Kelantan dan wayang Melayu selain pengaruh besar dari Hikayat klasik lama seperti hikayat Ramayana dan Hikayat Isma Dewa Pekerma Raja. Paul juga menyatakan walaupun nama-nama dewa hindu digunakan Raja melayu ia hanyalah sekadar nama sahaja tanpa membawa sebarang makna yang tersembunyi.

Nama Khas Tandu & Pedati

Burung Petala yang dibina pada tahun 1923 telah diberi nama Khas seperti Pertala Indra dan Pertala Chendera Wati (dua buah). Manakala burung pertala pada tahun 1933 diberi nama Pertala Kepak Indra. Setiap satu tandu dan pedati ini mengambil masa 3 bulan untuk dibina sepenuhnya.  Kali terakhir burung pertala ini dibina di Kelantan ialah selepas Perang Dunia II tamat dan ianya dibina untuk dijadikan sebuah replika tradisional di Muzium Negara Malaysia.

Tandu Burung Pertala ini merupakan jenis Pertala Indra yang kemudiannya diberi nama Pertala Indra Maha Sakti oleh anak salah seorang pembantu yang pernah membina arca burung diraja ini yang telah disiapkan pembinaannya oleh beliau pada tahun 1963. Weh burung atau Mohamed Noor bin Daud yang dibantu oleh Awang bin Sulong dibawah penyeliaan Ismail Bakti pada tahun 1963. Namun begitu, Arca tersebut dibina hanyalah untuk tujuan dipaparkan di Muzium Negara Malaysia dan saiznya lebih kecil jika dibandingkan dengan saiz burung Pertala yang pernah dibina sebelumnya. Dan pada tahun 2017, arca itu telah disimpan di Kelantan Heritage Trust, Kota Bharu Kelantan.

Perarakan Burung Pertala Indra ini adalah salah satu peristiwa di mana seekor burung raksasa dibina, yang mana seratus orang lelaki ‘tegap lagi gagah’ diperlukan untuk mengusungnya. Sepanjang perjalanan, pengusungnya berganti-ganti dengan 100 orang pengusung diperlukan pada stu-satu masa.  Mubin menyatakan untuk membina seekor burung istiadat ini sahaja hamper memakan masa selama tiga bulan untuk disiapkan. Kebiasaannya, burung ini diperbuat daripada kayu keras dan kulitnya diperbuat daripada kain gemerlapan pelbagai warna baldu dan kertas.

Rekabentuk Pedati & Tandu

Petala Indra

Tinggi pedati burung Pertala Kepak Indra yang dibina pada tahun 1933 ialah setinggi 20 kaki. Reid, seorang jurugambar Straits Times Annual yang pernah bertugas di Kelantan pada masa itu mengatakan yang saiz burung itu sangat besar dan tinggi sehingga pokok yang berada di sepanjang jalan terpaksa dipotong bagi melancarkan pergerakan kerana lebar burung itu lebih lebar dari jalan Bandar Kota Bharu pada masa itu.  Di atas belakang replika burung pertala terdapat satu pavilion atau wakaf berkayu yang bercat dan atap jenis singgora bumbung 2 lapis, 2 buah buton dengan ukiran sisik naga salur bayung pada sepanjang perabung atap serta pemanis. Pavilion ini mampu memuatkan sehingga 6 orang di dalamnya.

Gambar: Wikipedia

Petala Wati

Manakala tandu Petalawati pada tahun 1923 pula mempunyai bumbung atap pavilion 3 lapis yang berbentuk pyramid jenis Meru dengan satu buah buton. Paruh burung turut disapu cat emas dan taring dari gading. Paruhnya sedang menggigit (dengan keadaan terbuka) ular berbisa iaitu Ular naga Bora yang melilit pada leher burung Pertala. Matanya pula diperbuat daripada batu permata. Balun diperbuat dari kertas tinsel berkilau terang dan bulu atas kepalanya serta lehernya pula dibuat darihimpunan pelbagai warna kain baldu dan sutera.

Kepalanya turut diukir dan dibina dengan secantik yang boleh. Pelepah burung juga turut dipotong dengan gigih dari kertas yang bewarna terang supaya kelihatan berkilau apabila terkena cahaya sinaran matahhari. Kepak dan ekornya pula disusun dengan warna pelangi. Selain arca burung Pertala bersamanya juga terdapat seekor arca kera yang memakai mahkota kecil di atas kepalanya dan ia kelihatan sedang menari atau menjaga putera raja yang berada di dalam pavilion dan burung Petala. Kera ini sebenarnya merupakan Mahabat yang merupakan watak sampingan di dalam Hikayat Isma Dewa yang comel selain Sarung dewa Purba Raksasa. Arca ini direka untuk memujuk putera raja agar tidak takut dan gementar dengan cara mendendangkan kisah-kisah hikayat pahlawan gagah atau lelaki gagah menentang kejahatan dengan menggambarkan “putera’ tersebut sebagai pahlawan tersebut.

Bilangan tandu & pedati

Pada tahun 1923, istana Kelantan telah membina dua buah tandu berarak iaitu burung Pertala yang yang bersaiz lebih besar daripada yang telah dibina pada tahun 1933. Manakala, pedati pula dibina pada tahun 1933. Bentuk Pedati berkhatan pada tahun 1933 yang dibina ini masih lagfi mengekalkan bentuk burung mitos tradisi Kelantan. Pedati yang dibina pada tahun 1933 ini adalah khas untuk baginda Tengku Yunus yang merupakan anak ketiga Raja Muda, Raja Zainal Abidin merupakan kemuncak kesenian arca pedati Kelantan dan merupakan kali terakhir rasmi tradisi zaman-berzaman ini diadakan di bumi Kelantan atas permintaan pihak British untuk melihat, merakam gambarnya dan merekodkan butirannya.

Perarakan Pedati & Tandu Berkhatan Putera Raja Kelantan

Perarakan ini dimulakan dari pintu gerbang istana Kelantan dan diteruskan di sepanjang jalan utama Kota Bharu ke kawasan yang dikenali sebagai Batu Peringatan di Padang Bank melintasi pelbagai kompleks kerajaan dan kediaman ahli-ahli terkenal yang lain serta bangsawan dari Kelantan. Perarakan besarnya pula boleh dibahagikan kepada 38 bahagian dengan diiringi beberapa persembahan yang diadakan di panggung bergerak.

Selain itu, terdapat 300 orang anggota pasukan rejim Melayu yang mengiringi tandu tersebut. Bermula dengan satu unit lelaki berpedang dan berpakaian hitam diikuti oleh pembawa lilin yang mengenakan pakaian seragam berwarna merah dan satu unit rifflement yang akan membuat tembakan semasa perarakan itu berlangsung.

Di belakang pasukan ketenteraan pula adalah sekumpulan dayang yang memakai kain kuning di bahunya sambil memegang pulut kuning atau nasi semangat untuk menguatkan semangat Putera sebelum bersunat di dalam dulang yang dibawanya. Para dayang diikuti oleh pengawal kerajaan yang bersenjata seperti  Keris dan pedang, semetara di belakang mereka adalah sekumpulan dayang istana yang membawa kotak upacara, kipas tangan, bekas perak, kotak sirih diraja, pembakar kemenyan, bekas air perak dan pelbagai peralatan lain dari Istana.

Di belakang rombongan diraja adalah pentas terbuka yang menempatkan kumpulan persembahan tradisional Kelantan seperti Menora dan Makyong. Manakala, platform tertutup dibelakang pula menempatkan penari Asyik dan Joget. Walaubagaimanapun, berbeza dengan artis Menora dan MakYong sebelum ini, mereka tidak menari secara terbuka semasa perarakan. Di belakang platform yang menempatkan penari Asyik dan Joget pula terdapat persembahan Wayang Kulit dan pasukan Silat.

Menurut Mubin perarakan burung Pertala ini mengambil masa selama tiga jam dengan diiringi oleh Mak Yong, menorah, asyik dan joget seraya terdapat bunyi-bunyian Rebana Besar. Dalam catatannya juga Mubin turut menyatakan pada bahagian hadapan burung raksasa itu, terdapat orang tua-tua yang beragama Islam dan pegawai-pegawai agama yang membaca selawat dan doa sambal mereka berjalan dengan perlahan. Di sebelah atasnya pula, terdapat bomoh diraja dan seorang guru dudk tercelapak di atas leher burung itu. Mereka juga turut membaca ayat-ayat Al-Quran secara bergilir-gilir. Pada waktu itu, putera yang akan berkhatan akan dipakaikan dengan busana sutera, pending emas, dokoh emas, gelang pontoh emas, keris berhulu emas dan mahkota istiadat.

Gambar: Wikipedia

Perkembangan Selepas Tahun 1933

Burung Petala Indra yang dibina pada tahun 1933 adalah yang terakhir digunakan dalam adat istiadat berkhatan diraja Kelantan. Hal ini disebabkan oleh, rundingan dari ulama agama Kelantan yang telah memfatwakan bahawa terdapat unsur yang bercanggah dari ajaran Islam jika tandu dan pedati burung pertala digunakan dalam upacara tradisi tersebut. Walaubagaimanapun, tradisi itu masih diamalkan di Pattani, Thailand. Iannya disambut oleh Masyarakat Melayu Thai dalam bentuk Burung Gagak Suro dan dirayakan dalam skala yang lebih kecil dibanding pada zaman dahulu.

 

Rujukan:

  1. PPSK 2017
  2. Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan 2016
  3. Pattani 2017
  4. Janine Yasovant 2016
  5. Ghulam-Sarwar Yousof 2015
  6. Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan 2015
  7. Sheppard 1965

Bibliography

Rujukan Imej:

Pertala Indra 1933

a)

http://4.bp.blogspot.com/…/Screen%2BShot%2B2015-02-08%2Bat%…

b)

http://2.bp.blogspot.com/…/AAAAAAAA…/eKDqHOw0BEc/s1600/5.png

c)

http://3.bp.blogspot.com/…/AAAAAAAA…/u2d1TvvQgCo/s1600/6.jpg

d)

http://3.bp.blogspot.com/…/A…/UdG_X_tx4Zo/s1600/5%2Bcopy.jpg

Petala Indra Maha Sakti

a)

http://3.bp.blogspot.com/…/3-aZe2VZqpk/s1600/Burung%2BPetal…

 

Helmi

"Write every day even if it is just a paragraph"