Siakap Keli

Tamadun Terawal Asia Tenggara Bermula Di Sungai Batu?

Tamadun Sungai Batu telah diisytiharkan oleh Profesor Oxford University, Stephen Oppenheimer sebagai salah satu daripada bebarapa tamadun purba yang telah mendahului beberapa abad daripada khazanah arkeologi terkemuka di rantau ini mendahului kuil Borobudur di Indonesia, and Angkor Wat di Kemboja yang masing-masing pada abad ke-9 dan ke-12.

KEUNGGULAN TAMADUN SUNGAI BATU

Sungai Batu yang berlangsung seawal 535 Sebelum Masihi hingga kurun ke-15 ialah bukti bahawa bangsa Melayu ialah bangsa yang bertamadun yang telah wujud 600 tahun sebelum masihi dan sezaman dengan tamadun Rom dan Yunani. Fakta lain mengenai tapak Sungai Batu ialah, tapak Sungai Batu 400 tahun lebih tua dari Tembok Besar China yang dibina oleh Dinasti Qin, 600 tahun lebih tua dari pembinaan Collosseum di Rom dan 1773 tahun lebih tua dari Menara Condong Pisa, Itali. Sungai Batu juga telah wujud 1100 tahun sebelum kelahiran junjungan besar Rasulullah S.A.W dan juga 600 tahun sebelum kelahiran nabi Isa A.S.

Pada Mei, selepas hampir satu dekad kerja penggalian dijalankan di sebuah ladang kelapa sawit tempatan, ahli-ahli arkeologi yang mempunyai kepakaran dalam lima tamadun purba utama – Mesopotamia, Indus, Mesoamerika, China dan Greco-Roman – menandatangani satu plak bagi mengiktiraf kepentingan sejarah di Sungai Batu. Tambah Prof Datul Dr, Mokhtar Saidin, hal ini jelas menunjukan bahawa nenek moyang kita dahulu bukanlah golongan ‘sekadar hidup’ malah bukti kewujudan 12 juta tuyere atau peniup angin menunjukan bahawa Sungai Besi adalah tapak perdagangan dan perleburan besi terulung pada zamanya. Hal ini ditambah dengan kajian yang dilakukan oleh Mokhtar, Ahli Arkeologi Malaysia bahawa semua monument dibina menggunakan tanah liat dan berbumbung memberikan gambaran berbeza peranan Lembah Bujang selain sebagai pusat perdagangan, perusahaan manik dan memungut hasil hutan.

gambar 1: peta Sungai Batu

gambar 2: Profesor Oxford University Stephen Oppenheimer menyerahkan sebuah plak kepada Profesor Mokhtar Saidin (dua, dari kanan) bagi mengiktiraf tapak Sungai Batu yang berusia 2,000 tahun semasa Persidangan Antarabangsa Kedah Tua  pada Mei. [Ihsan daripada Rakan-rakan Arkeologi Universiti Sains Malaysia]

Gambar 3: Mokhtar

KEPENTINGAN DAN SUMBER EKONOMI SUNGAI BATU

Tapak arkeologi Sungai Batu turut dicatatkan oleh Al-Kindi dan Al-Biruni sebagai pengeluar besi terbaik dunia dan menceritkan tentang kualiti besi yang dihasilkan oleh Kalah (Kedah Tua), iaitu antara tiga besi terbaik dunia pada ketika itu yang antaranya dihasilkan oleh Yemen dan Hindi. Besi yang diperbuat dari Sungai Besi dikenali sebagai besi hitam dan dikatakan sangat bermutu tinggi yang diperdagangkan sehingga ke India.

Gambar 4: salah satu tinggalan monumen pemprosesan besi

Budaya material tapak peleburan besi di Sungai Besi mendedahkan tiga proses yang berlaku iaitu, 1) proses pembersihan dan penyediaan bijih, 2) proses perleburan dan 3) pembentukan jongkong besi (ingot iron).

Proses pembersihan dan penyediaan bijih besi boleh dibuktikan dengan penemuan bijih besi dalam saiz yang kecil dan penemuan beberapa alat batu seperti lesung dan alu yang digunakan ketika proses penyediaan bijih besi. Berdasarkan rekod kajian etnografi masyarakat etnik India, Afrika dan Sarawak, proses penyediaan bijih besi dilakukan dengan mengetuk ketulan besar bijih besi daripada proses perlombongan kepada saiz lebih kecil untuk memudahkan tindakbalas kimia berlaku ketika proses peleburan. Seterusnya ketulan kecil bijih besi ini akan dibakar dengan suhu pembakaran yang rendah untuk mengeluarkan bahan kotoran (mineral lain seperti silika dan karbon) bagi membantu mempercepatkan tindakbalas kimia semasa proses peleburan. Proses peleburan besi di Sungai Batu menggunakan bijih besi daripada mineral hematit dan geotit berdasarkan kepada keputusan XRD. Alat batu pelandas dan batu pemukul pula digunakan dalam proses penyediaan bijih besi.

Gambar 5: Lagi bekas peleburan besi tinggalan masyarakat Sungai Batu

Masyarakat awal Kompleks Sungai Batu menjalankan aktiviti peleburan besi secara langsung atau bloomery dengan penggunaan relau, tuyere dan pam angin. Proses secara langsung ialah proses pengekstrakan besi secara terus daripada bijih besi dengan penggunaan bahan bakar. Relau merupakan dapur yang digunakan untuk meleburkan material/mineral tertentu pada suhu yang tinggi. Umumnya, struktur asas bagi sesebuah relau ialah struktur tertutup untuk menghadkan kemasukan udara ke dalam relau. Ini membolehkan pembuat besi mengawal kemasukan udara ketika proses peleburan.

Relau yang ditemui di Kompleks Sungai Batu adalah dalam bentuk pecahan iaitu hanya bahagian dasar yang ditemui. Hal ini adalah disebabkan oleh proses pemecahan relau atau sebahagian relau bagi mendapatkan besi bloom di bahagian dasar (tengah) relau. Kawasan melebur besi dikenalpasti berdasarkan kehadiran tanah liat terbakar dan tekstur tanah yang halus serta tinggi kandungan ferum kesan daripada aktiviti pembakaran. Tanah di kawasan ini berwarna lebih gelap, kaya dengan sisa arang dan turut dijumpai sisa cengkerang. Sisa cengkerang ini digunakan sebagai fluks atau pemangkin untuk menurunkan takat leburan. Fluks boleh membantu dalam menghasilkan besi tulen dengan cara memangkin ion Fe keluar dari bijih besi.

Gambar 6: Serpihan besi yang masih ada di Tapak Arkeologi Sungai Batu

SUMBER BAHAN MENTAH

Penelitian terhadap peta geologi Syit 2-1/2 dan 2-1/6, mendapati bahawa kawasan Sungai Batu merupakan kawasan tanah aluvium dengan taburan bijih besi yang banyak di bahagian selatan Kampung Merbok. Bijih besi yang di dapati di kawasan ini terdiri daripada hematit dan magnetit dengan butiran bijih besi yang sangat halus kerana ia berada hampir pada lapisan granit dan metakuarzit. Kajian survei bijih besi di kawasan berdekatan tapak serta survei tanah liat melalui kaedah penggerudian di sekitar sungai Batu kuno dijalankan bagi mengetahui sumber bahan mentah yang digunakan oleh masyarakat awal Sungai Batu.

Survei bijih besi yang dijalankan di Bukit Tupah, Kg. Batu 5 dan kawasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok menunjukkan kehadiran bijih besi yang banyak. Perbandingan nisbah antara unsur mangan dan titanium menunjukkan bijih besi dari UiTM dan Bukit Tupah mempunyai kandungan nisbah hampir sama dengan sisa besi tapak SB2A. Pemilihan unsur mangan dan titanium untuk perbandingan kerana unsur ini keseluruhannya kekal dalam sisa besi selepas proses peleburan besi.

Hasil kajian penggerudian menunjukkan enapan aluvium yang banyak yang boleh diperoleh di sekitar Sungai Batu kuno. Kekayaan sumber tanah liat ini merupakan antara faktor kepada penghasilan ratusan ribu bata dan puluhan ribu tuyere. Sumber bahan bakar pula diperoleh dari pokok bakau yang mudah didapati di kawasan Sungai Merbok dan kawasan paya bakau. Menurut kajian Dunn, perubahan keadaan hutan adalah sedikit ataupun tiada pada 1500 hingga 500 B.P. melainkan perubahan yang disebabkan oleh kesan modifikasi manusia. Oleh itu, perbandingan dengan hutan yang ada sekarang boleh mewakili keadaan masa dahulu.

Gambar 7: Tinggalan laluan para pedagang yang masih kelihatan

RITUAL KEAGAMAAN

Pasukan itu juga menemukan sebuah monumen bata tanah liat yang berbeza dengan struktur bulat yang mewakili bulan, matahari dan bumi. Bahagian utaranya menghadap Gunung Jerai, yang terletak berdekatan kawasan itu dijangka untuk penyembahan Gunung Jerai yang berada di utaranya dan dipercayai menjadi kediaman suci bagi tuhan-tuhan semasa zaman purba. Menurut para penyelidik juga, tempat-tempat ritual dan tembikar yang mengandungi simbol-simbol tertentu mungkin menunjukkan amalan animisme sebelum kedatangan agama Buddha dan Hindu di rantau itu. Yang menariknya, tidak ada satu pun yang sama senibinanya di dunia ini. ini jelas menunjukan ianya ialah asal jenis senibina Melayu.

Gambar 8: Tinggalan monumen pemujaan

Menurut Prof. Dr. Mokhtar, agama Hindu-Buddha di Lembah Bujang bermula paling awal iaitu pada kurun ke-4 Masihi. Ini mengukuhkan lagi bukti masyarakat Melayu memegang kepercayaan animism kemudian Hindu-Buddha dan akhirnya Islam.

Pembinaan candi-candi Hindu-Budha di Lembah Bujang adalah bersaiz sangat kecil berbanding yang terdapat di tempat lain seperti di Indonesia, Kemboja malah di Selatan India sendiri. Ini menunjukkan candi tersebut mungkin lebih digunakan oleh pedagang India dan China yang beragama tersebut bersama segelintir masyarakat Melayu asal.

KEHEBATAN MASYARAKAT MELAYU

Keunggulan tamadun di Sungai Batu juga menunjukan betapa majunya sistem pentadbiran pada ketika itu. Penemuan 17 tapak peleburan selain jumlah tuyere sebanyak 12 juta yang dijumpai di tapak arkeologi berkeluasaan lebih 1000 km2, senibina banggunan dengan tanah liat, jeti perlabuhan, bengkel peleburan besi dan adanya perdagangan yang berlaku disini menunjukan betapa tersusunya sistem masyarakat Sungai Batu sehingga terbukti jelas pada ketika itu mereka mempunyai sistem geologi tersendiri. Hal ini menjadi lebih menarik apabila perlabuhan di Sungai Batu menjadikan Gunung Jerai sebagai panduan buat pada pedagang yang datang berdagang di Sungai Batu.

Hal ini juga menepis dakwaan yang menyatakan bahawa peradaban Melayu hanya bermula ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka kira-kira 400 tahun dahulu walhal pembuktian jelas menunjukan pihak orintasi adalah salah kerana tamadun Melayu sememangnya bermula seawal kira-kira 2000 tahun dahulu dengan berlakunya berlakunya pengeksportan produk besi bermutu tinggi kepada tamadun lain pada masa itu. Selain peleburan besi, penggalian juga menemukan sisa-sisa 12 jeti dan 5 buah kapal purba yang masih lagi berada di bawah tanah selain banggunan pentadbiran yang menunjukan bahawa tapak itu pernah menjadi perlabuhan yang berkembang maju dan berada pada kedudukan paras air laut.

PUNCA KEJATUHAN TAMADUN SUNGAI BATU

Sehingga ke saat ini, ada beberapa faktor yang telah disenaraikan menjadi punca kemerosotan tamadun di Sungai Batu antaranya;

  1. Perubahan struktur muka bumi dan alam semulajadi

Sungai yang dahulunya selebar 100 meter semakin cetek setelah ribuan tahun menyebabkan kapal-kapal besar sudah tidak dapat berlabuh di jeti-jeti yang didirikan oleh pemerintah. Akibat daripada pengecilan laluan sungai, masyarakat pada ketika itu mula berpindah ke kawasan lain yang berhampiran dengan laut seperti Pengkalan Bujang dan Sungai Mas. Pada ketika Sungai Batu hanya berada di tepi laut berbanding sekarang iaitu 12km ke Tanjung Dawai baru berjumpa laut.

Gambar 9: Tempat yang dahulunya laut dalam dan laluan kapal dagang kini dipenuhi selut dan semak

  1. Tsunami

Pada ketika itu, kerajaan Srivijaya musnah (hampir sepenuhnya) akibat bencana Tsunami. Dijangka bahawa Sungai Batu juga turut terkena tempias sehingga menyebabkan lenyapnya Tamadun Kedah Tua.

  1. Serangan/ politik

Walaupun tidak ada tanda-tanda Sungai Batu diserang oleh tamadun lain, sesetengah pengkaji politik juga boleh dijadikan salah satu faktor kejatuhan Tamadun Sungai Batu yang berlaku atas dasar perluasan empayar bagi tujuan politik, ekonomi dan sosial.

PEMILIK SEBENAR SUNGAI BESI

Sehingga ke hari ini, para pengkaji masih lagi tidak mengetahui siapa yang membuka Sungai Batu dan zaman pemerintahanya. Walaubagaimanapun, tamadun terdahulu tentunya hebat sehingga mampu memerintah industri peleburan besi dengan sebegitu besar sehingga mampu mengeksport sehingga ke luar negara dan dikenali antara besi terbaik dunia. Sepanjang kajian yang dilakukan ini juga, para pengkaji juga tidak menjumpai perkuburan.

Sesetengah daripada pengkaji juga percaya, besi daripada Sungai Batu juga merupakan salah satu besi yang ditempa menjadi pedang Rasulullah S.A.W. Hal ini jelas menunjukan tamadun kita terdahulu bukan calang-calang bangsa sehingga memulakan tamadun dengan sebegitu hebat hanya dengan menggunakan teknologi lokal.

Begitu juga nama Kedah Tua berada di dalam satu puisi Tamil “Pattinappalai” yang menyatakan bahawa pedagang India telah mengkesport besi dar ‘Kataram’ untuk membuat pedang. Ia juga berasal dari perkataan ‘Kazh’ iaitu besi hitam yang bermaksud Kedah Tua. Selain itu, nama lain yang digunakan untuk merujuk kepada Kedah Tua ialah ‘Kataha’ yang merujuk kepada The Bowl of Iron dalam bahasa Sanskrit.

Gambar 10: Batu tanda Sungai Batu

Akan tetapi, siapakah pemilik kerajaan ini? Adakah ia dimulakan oleh orang Melayu, persoalan yang masih misteri dan ini antara misi utama pasukan arkeologi Mokhtar untuk terus merungkai rahsia yang masih tersisip rapi di Sungai Batu.

 

Sumber:

i) mstar online

https://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2016/07/15/rahsia- sungai-
batu/#cEikrszLzVizZZDG.99

https://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2016/07/15/rahsia-sungai- batu/~/media/f4c0ea6946114f1085ba127be223492e.ashx?la=

ii) benarnews

https://www.benarnews.org/malay/berita/my-sungaibatu-160610-06102016180542.html

iii) Penyelidikan Arkeologi Sungai Batu,

http://heritage.gov.my/ms/arkeologi/arkeologi-darat/penyelidikan-arkeologi-sungai-batu-pembangunan-warisan-lembah-bujang-keda

iv) The Vocket

https://www.thevocket.com/tapak-peleburan-besi-sungai-batu-tamadun-melayu/

https://www.thevocket.com/23-sebab-kenapa-tapak-warisan-sungai- batu-di-kedah-mesti-dipertahankan

v) The Patriot

https://www.thepatriots.asia/apa-istimewanya-tamadun-sungai-batu-di-kedah/

vi) facebook/ Tamadun Sungi Batu 582SM

https://www.facebook.com/rakansungaibatu500SM/

vii) Arkeologi Sungai Batu

http://arkeosungaibatu.blogspot.com/

viii) Malaysiakini

https://www.malaysiakini.com/news/233706

 

Nur Shuhada Ahmad

part-time manusia

Editor: Mohd Firdaus

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di