Siakap Keli
BERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bomba Perlu Isi Lebih 2,000 Kekosongan – Zuraida

SEBERANG JAYA, 23 Feb (Bernama) — Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin hari ini menggesa golongan belia termasuk wanita agar menyertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang pada masa ini perlu mengisi lebih 2,000 kekosongan jawatan.

Katanya kekosongan itu perlu diisi segera bagi menampung keperluan semasa yang banyak disokong oleh pasukan bantuan termasuk sukerelawan bomba dan bomba komuniti.

“Pada masa ini hanya terdapat kira-kira 14,000 anggota bomba di seluruh negara,” katanya kepada pemberita pada Kempen Keselamatan Kebakaran dan Pelancaran Program Suri JBPM Pulau Pinang, di sini.

Sehubungan itu juga Zuraida yakin sebarang pengurangan jawatan dalam sektor awam tidak akan melibatkan JBPM yang tugas utamanya menjaga keselamatan harta benda awam dan negara.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang berpandangan saiz warga sektor awam di negara ini terlalu besar dan perlu dikecilkan.

Sementara itu, Zuraida berkata keputusan tender bagi pembekalan baju kalis api akan diketahui April ini.

“Kita sudah mengeluarkan tender untuk baju kalis api sebanyak 9,000 helai dan kali ini penyemakan tendernya akan lebih ketat kerana kita hendak pastikan baju kalis api itu dapat pengesahan dan terbukti betul-betul kalis api,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, Zuraida yang memuji inisiatif tersebut berharap golongan ibu dapat mempratikkan ilmu memadam api ketika berlakunya kecemasan seperti kebakaran di dapur.

Pendedahan kepada kaedah memadam kebakaran ini secara tidak langsung akan mengurangkan perasaan cemas dan panik dalam kalangan suri apabila menghadapi situasi yang tidak dingini terutamanya kebakaran, katanya.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.