Siakap Keli

Musim Kemarau Terengganu, Pelbagai Pihak Siap Siaga

Kuala Terengganu : Perubahan iklim dunia ekoran isu pemanasan global yang membawa kesan ketidaktentuan cuaca mula dirasai di negara ini terutama di negeri-negeri di utara tanah air.

Di Terengganu, meskipun fenomena itu belum dirasai sepenuhnya, banyak pihak bersedia menghadapinya dengan cara masing-masing bagi memastikan impak buruk tidak menjejaskan kehidupan seharian orang ramai, tanaman dan hidupan lain di negeri ini.

Pembekal utama bekalan air di negeri ini, iaitu Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd, (SATU) telah mula melakukan pemantauan berterusan terhadap sumber air di setiap daerah yang dikendalikan SATU meskipun paras air masih terkawal dan tiada laporan diterima berhubung gangguan bekalan air setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Atemin Sulong berkata, jika situasi kritikal, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) melepaskan air Empangan Kenyir di Hulu Terengganu bagi meningkatkan paras air di kawasan tadahan air milik SATU.

“Punca utama bekalan air kita adalah daripada sungai-sungai di negeri ini…kita jangkakan musim kemarau akan berlaku bermula sekarang hingga bulan Julai…tapi yang paling kritikal diramalkan pada bulan April.

“Jika terjadi gangguan bekalan air, selain meminta TNB meningkatkan kapasiti pelepasan air Empangan Kenyir, kita bersedia menghantar lari-lori tangki air ke kawasan perumahan dan industri yang terjejas,” katanya ketika dihubungi sumber.

SATU juga akan membuat catuan air bukan pada waktu puncak iaitu bermula pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi kerana ketika itu orang ramai kurang menggunakan air.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar menggunakan sumber air dengan lebih berhemat dan tidak melakukan pembaziran sumber air dalam tempoh musim kemarau ini.

Agensi keselamatan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) pula sentiasa siapsiaga dengan keanggotaan, jentera dan logistik bagi mengatasi masalah kebakaran hutan yang sering berlaku setiap kali musim kemarau melanda negeri ini.

Ketua Cawangan, Pengurusan Operasi dan Balai, JPBM Terengganu, Mohd Mazimi Mohamad berkata kerjasama daripada orang awam untuk tidak melakukan pembakaran secara terbuka juga amat dialu-alukan kerana bimbang ia akan jadi tidak terkawal dan merebak ke kawasan petempatan jika kebakaran berlaku di kawasan belukar.

“Pemantauan berkala di tempat biasanya berlaku kebakaran hutan juga dibuat oleh balai-balai bomba berkaitan bagi mengambil langkah awal supaya kebakaran tidak merebak dengan teruk. Kawasan seperti Lembah Bidong di Setiu, Kampung Tok Kah dan Kampung Batu 7 di Dungun, Kampung Lubuk Kawah dan Kampung Lubuk Cabang di Kerteh, Santong di Paka dan Kampung Tembila di Besut biasa berlaku kebakaran,” katanya.

Bagi memudahkan pihak bomba mendapatkan bekalan air yang secukupnya, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membesarkan sistem perparitan dan membina telaga tiub di kawasan berisiko berlakunya kebakaran.

Seorang usahawan tani, Mohd Hafizuddin Mohd Zaky, 29, yang mengusahakan tanaman tembikai pula telah mula membuat saluran air dari dalam tanah sebagai persediaan jika sekiranya bekalan air bagi mengairi tanamannya terputus ketika musim kemarau kelak.

Langkah itu diambil selepas mengalami kerugian pada musim kemarau tahun lalu apabila hanya dua daripada lima hektar tanaman tembikainya dapat diselamatkan, manakala yang selebihnya rosak dan buahnya tidak menjadi kerana tidak cukup nutrisi dan mengalami kekeringan akibat kurang air.

“Kali ini saya dah buat persediaan awal, fokus pada penjagaan tanaman dengan memasukkan baja bagi menguatkan akar pokok..menukar saiz paip saliran air kepada saiz yang lebih besar, semai benih ikut keadaan cuaca, jika ada hujan baru saya akan semai,” katanya yang mengusahakan tanaman di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai, Setiu sejak dua tahun lalu.

Bagi penternak kerbau, Khamis Jusoh, 63, dari Kampung Kubang Bujuk, dekat sini berkata, beliau akan mula menggali kawasan tempat kerbaunya berkubang dengan lebih dalam sekiranya kawasan sedia ada mengalami kekeringan.

“Setakat ini, Alhamdulillah..ternakan saya berada dalam keadaan yang baik.. jaga kerbau ini tidak remeh…cuma kita tahu dia suka berkubang, kalau tempat kubang dia tu kering, kita gali lah dalam sikit bagi air dalam tanah tu keluar di kawasan tu, yang lain-lain, kita bagi makan macam biasalah,” katanya yang memelihara lebih 100 ekor kerbau dan ternakan lain seperti lembu dan kambing.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.