Siakap Keli

KBS Tak Tutup Mata Masalah Atlet Bersara – Syed Saddiq

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mewujudkan satu pusat sehenti untuk menjadi rujukan atlet yang mempunyai masalah sama ada mereka yang telah bersara, tidak disambung kontrak atau keluar daripada program sukan.

Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata satu skim perlindungan khas untuk membantu atlet dan bekas atlet yang mempunyai masalah membayar kos rawatan jika menghadapi masalah kesihatan juga akan diwujudkan.

“Kita memang menerima banyak masalah atlet, dan kita tidak boleh tutup mata, satu kertas kerja komprehensif untuk mewujudkan kedua-dua pelan ini akan kita bentangkan dalam masa terdekat,” katanya selepas merasmikan Pertandingan Bowling Mesra Persatuan Media Wanita Malaysia (Pertama) di sini hari ini.

Tambahnya jika ada pihak yang mengetahui mengenai atlet atau bekas atlet yang menghadapi masalah, mereka diminta melaporkannya kepada pihak KBS.

Ini kerana katanya ada antara masalah atlet yang tidak disedari oleh kementerian, oleh itu maklumat daripada pihak orang awam juga boleh membantu menangani masalah atlet.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata KBS melalui Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) sedang cuba berhubung dengan atlet berbasikal orang kurang upaya (OKU), Mohamad Syazwan Roshdi bagi membantu atlet berkenaan yang didakwa hidup merempat.

Beliau berkata kementerian sentiasa komited membantu bekas atlet yang berdepan sebarang masalah termasuk kesukaran hidup.

“Kita sedang cari jalan hubungi beliau, saya juga telah minta Yakeb mencari cara untuk sampaikan bantuan kepada beliau. Ini bukan sekadar bantuan ‘one off’, tetapi juga penyelesaian jangka panjang,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan bekas pelumba basikal negara, Rizal Tisin, berkata Mohamad Syazwan, pemenang pingat emas berbasikal lebuh raya kategori Sukan Para ASEAN Ke-9 dipercayai hidup ‘merempat’ apabila dia ditemui menumpang di surau Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru.

Menurut Rizal, beliau difahamkan Mohamad Syazwan sudah tiga malam tidur di surau CIQ berkenaan selepas mendakwa dirinya ditipu seorang kenalan yang kononnya mahu membantunya mendapatkan pekerjaan di Singapura selepas dia tidak menerima surat tawaran semula untuk menjadi atlet sepenuh masa di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini.

Mengulas mengenai sukan skuasy yang masih gagal disenaraikan di kejohanan Olimpik Paris 2024, Syed Saddiq berkata ia agak mengecewakan namun akan terus memperjuangkan sukan tersebut sehingga ia disenaraikan ke temasya sukan dunia itu.

— BERNAMA

Nur Farra