Siakap Keli

Pertembungan Epik Dua Gergasi Inggeris, United Dan Liverpool Jadi Tumpuan Peminat Bolasepak Dunia

Perseteruan antara Liverpool dan Manchester United bukanlah perkara yang asing bagi peminat bola sepak Liga Perdana Inggeris.  Perlawanan yang digelar Derbi Barat Laut itu bakal kembali lagi malam ini dan sudah pasti menjanjikan aksi serta drama sepanjang 90 minit perlawanan.

United yang baru sahaja disuntik semangat Ole Gunnar Solskjaer mencatat rekod tanpa kalah dalam persaingan liga sejak pengendali dari Norway itu menggantikan tempat Jose Mourinho Disember lalu. Ini sudah pasti memberi sedikit kebimbangan buat anak-anak buah Jurgen Klopp yang bergelut untuk menamatkan kemarau kejuaraan liga.

BBC

Liverpool ketika ini yang dihimpit masalah kecederaan beberapa orang pemain dibahagian pertahanan iaitu Joe Gomez dan Dejan Lovren pasti memberi cabaran buat Klopp untuk menyediakan pasukan terbaik beliau untuk menghadapi United di Old Trafford. Namun, Klopp mampu menarik nafas lega apabila Trent Alexander Arnold sempat sembuh sebelum perlawanan penting ini dan Virgil Van Dijk kekal cergas sepanjang saingan liga musim ini. Tidak dapat dinafikan bahawa, kehadiran Van Dijk adalah sebuah jawapan untuk Liverpool yang sudah sekian lama mengalami krisis pertahanan yang sering mengagalkan mereka untuk meraih kejuraaan liga.

Eurosport

Bagi United pula, Solskjaer tiada masalah untuk menurunkan skuad terbaiknya malam ini kerana rata-rata kesebelasan utama kegemarannya tidak mengalami sebarang kecederaan dan penggantungan perlawanan. Pertembungan malam ini bakal menjadi perlawanan yang sangat menarik apabila kedua-dua pasukan ada misi yang perlu dipertahankan.

Bercakap mengenai jentera serangan kedua-dua pasukan, United dan Liverpool setakat ini mempunyai bahagian serangan yang sangat tajam di depan gol. United dijangka akan menurunkan Juan Mata, Romelu Lukaku dan Anthony Martial di bahagian hadapan sambil dibantu Paul Pogba dan Ander Herrera sebagai arkitek United bagi menjana serangan ke kubu Liverpool.

Manakala Liverpool pula sudah pasti bakal menurunkan Roberto Firmino, Sadio Mane dan Mohamed Salah sebagai penggempur utama dan Klopp dijangka bakal menurunkan Xherdan Shaqiri dan Georginio Wijnaldum bagi merencana serangan bagi pasukan Liverpool. Mohamed Salah setakat ini sudah menjaringkan 17 gol dan berkongsi tempat sebagai penjaring terbanyak liga bersama Sergio Aguero manakala Romelu Lukaku hanya mencatat 8 gol setakat ini apabila bergelut dengan prestasi beliau di awal saingan liga.

FOX Sport Asia

Untuk rekod United dan Liverpool ini bakal menjadi pertemuan kali ke 202 dalam sejarah bola sepak Inggeris dan United telah mencatat 80 kemenangan manakala Liverpool mencatat 66 kemenangan dan 55  kali seri. Kali terakhir mereka bertemu, Liverpool mencatat kemenangan bergaya di Anfield dengan keputusan 3-1 hasil jaringan Sadio Mane dan 2 dari Xherdan Shaqiri. Gol United dijaringkan Jesse Lingard.

Fakta menarik yang dikeluarkan oleh Sky Sport pada tahun 2015, Perlawanan antara Liverpool dan Manchester United pada musim tersebut telah mencatat rekod tontonan paling tinggi dalam sejarah sebanyak 700 juta tontonan seluruh dunia dan menewaskan pertembungan El Clasico antara Barcelona dan Real Madrid 2015 yang hanya ditonton seramai 500 juta serta turut menewaskan rekod tontonan perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah 2015.

Jangan lupa saksikan perlawanan antara Manchester United menentang Liverpool malam ini. Sepak mula pada jam 10 malam waktu Malaysia. Siaran Langsung di saluran Astro Supersport 3 816/834HD.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)