Siakap Keli
Gambar Hiasan

Tiada Cadangan Wajibkan Vaksin – Timbalan Menteri Kesihatan

Kerajaan tidak bercadang untuk mewajbkan vaksinasi ke atas bayi seperti yang disarankan oleh banyak pihak, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Sebaliknya kata beliau, pihak kementerian mengambil pendekatan memberi pendedahan selain menasihati ibu bapa agar membenarkan bayi mereka diberi suntikan vaksin demi kesihatan dan keselamatan anak itu sendiri.

“Ibu bapa akan menggunakan isu kepercayaan dan agama (untuk menolak penggunaan vaksin) dan ini sudah tentu sukar untuk kita laksanakan (wajibkan vaksinasi) kerana kita tidak mahu melakukannya secara paksaan.

“Jadi, setakat ini kita tidak ada rancangan untuk mewajibkan (pengambilan vaksin) walaupun dari segi agama, saintifik dan kesihatan penggunaan vaksin telah terbukti keberkesanannya dan boleh digunakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Jom Hapuskan Aedes anjuran Kelab Rotary Ipoh Selatan di Klinik Kesihatan Greentown di sini hari ini.

Menurutnya setakat ini kadar pengambilan vaksin hanya 89 peratus berbanding sasaran 95 peratus.

“Pengambilan vaksin ke atas bayi yang baru lahir tidak mempunyai masalah kerana semasa bayi tersebut berusia sebulan hingga tiga bulan mereka tetap menerima vaksin yang disediakan kerajaan.

“….tetapi apabila usia bayi itu mencecah sembilan bulan, ada ibu bapa yang tidak mahu memberikan imunisasi vaksin MMR (campak, beguk, rubella) kepada anak-anak mereka,” katanya.

Sementara itu, Dr Lee berkata kementerian dukacita dengan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Johor Bahru pada Khamis lepas, dipercayai akibat difteria.

“Difteria boleh dielakkan melalui pengambilan vaksin tetapi malangnya masih ada segelintir ibu bapa yang terpengaruh dengan gerakan anti vaksin kerana mereka masih tidak faham vaksin yang digunakan di negara ini terbukti selamat,” katanya.

Mengulas mengenai kes denggi, Dr Lee berkata analisis kementerian mendapati jenis virus denggi kini berubah dari segi genetik kepada DEN 2 berbanding DEN 1 pada tahun lepas, sekali gus boleh menyebabkan peningkatan demam denggi.

“Perubahan virus ini disebabkan perubahan cuaca yang berlaku iaitu bermula Disember hingga Februari wabak denggi berada di kemuncak,” katanya menambah Kementerian Kesihatan meningkatkan usaha mengekang penularan denggi termasuk mengaktifkan Program COMBI (Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku).

— BERNAMA

Nur Farra

writ.er / [rahy-ter]
-noun
1. a peculiar organism capable of transforming caffeine into books.

Editor: Nur Farra

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di