Siakap Keli

Adib Diberitahu Petugas IJB Dia Dipukul – Doktor

Anggota bomba  Muhammad Adib Mohd Kassim memberitahu seorang petugas Institut Jantung Negara (IJN) bahawa beliau dipukul, Mahkamah Koroner di sini diberitahu hari ini.

Perkara ini didedahkan  Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotorasik IJN Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib ketika beliau memberi keterangan sebagai saksi ke-14 dalam inkues berhubung kematian Adib.

Katanya seorang daripada anggota pasukan perubatannya, dikenali sebagai Ashraf,  yang merawat Adib semasa beliau dimasukkan ke IJN, memberitahunya bahawa dia (Ashraf) bertanya sama ada Adib ingat tentang peristiwa itu dan anggota bomba itu menganggukkan kepalanya.

“Ashraf juga memberitahu saya pada Hari Krismas (25 Dis) bahawa Adib turut menganggukkan kepalanya apabila ditanya sama ada dia dipukul.

“Beliau memberitahu saya perkara ini beberapa hari selepas Adib meninggal dunia pada 17 Dis tahun lepas dan saya memintanya merujuk kepada peguam kami kerana saya tidak tahu apakah tindakan selanjutnya,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadini Khairuddin, yang juga pegawai pengendali inkues berkenaan, pada hari kesembilan prosiding itu.

Bagaimanapun, Dr. Mohamed Ezani berkata Adib memberi jawapan yang berlainan semasa pegawai penyiasat polis (IO) datang menemu bualnya di hospital.

Fatin Hadni: Adakah kamu sedar bahawa seorang pegawai penyiasat datang untuk menemu bual pesakit ini?

Dr. Mohamed Ezani: Ya. Saya ada semasa temu bual itu.

Fatin Hadni: Apakah soalan yang ditanya oleh IO itu?

Dr. Mohamed Ezani: Beliau tanya Adib ingat tak apa yang berlaku? Dia (Adib) menjawab dengan menggelengkan kepala.

Fatin Hadni: Adakah kamu cuba berkomunikasi dengan pesakit?

Dr. Mohamed Ezani: Ya, antara hari kelima atau enam. Saya tanya kepadanya sama ada dia ingat apa yang berlaku tetapi dia juga menggelengkan kepala. Saya berhenti di situ dan tidak bertanya lebih lanjut.

Beliau berkata Adib tidak boleh bercakap kerana terdapat tiub di dalam mulutnya dan  hanya boleh berkomunikasi dengan bahasa isyarat serta tulisan.

“Keadaan Adib bertambah baik selama beberapa hari apabila beliau semakin sedar dan boleh memberi respons jika kami memanggilnya. Malah beliau memberi respons semasa kami memanggil namanya dan boleh melakukan beberapa arahan misalnya menggerakkan anggota badan dan kakinya.

“Beliau juga berupaya menggunakan papan putih dan pena untuk berkomunikasi selain mahukan telefonnya,” katanya.

Ketika menjelaskan keadaan Adib, Dr Mohamed Ezani berkata buah pinggang anggota Bomba itu tidak dapat dipulihkan dan beliau memerlukan dialisis sehinggalah menghembuskan nafas terakhir.

Katanya walaupun menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang baik, keadaan  Adib tiba-tiba merosot pada 14 Dis apabila beliau gagal mengekalkan oksigen dan nafasnya pendek.

“Pada 15 Dis, keadaan beliau terus bertambah buruk dan kami terpaksa  menggunakan semula mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) untuk menstabilkan paras oksigen dan tekanan darahnya. Bagaimanapun, keadaannya terus merosot pada 16 Dis sungguhpun semua rawatan diberikan dan beliau meninggal dunia pada keesokan harinya,” katanya.

Muhammad Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lalu di Institut Jantung Negara.

Inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung tengah hari ini.

— BERNAMA

Nur Farra

writ.er / [rahy-ter]
-noun
1. a peculiar organism capable of transforming caffeine into books.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di