Siakap Keli

Bertindak Pantas Mampu Selamatkan Nyawa – Bomba

Bertindak pantas ketika kecemasan adalah ‘waktu keemasan’ yang mampu  menyelamatkan nyawa seseorang, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Khirudin Drahman.

Malangnya, kata beliau, masyarakat kita pada hari ini lebih suka merakam kejadian yang berlaku terlebih dahulu selain daripada memberikan bantuan kecemasan awal.

“Contohnya dalam kejadian yang berlaku di Slim River baru-baru ini, di mana seorang pemandu treler rentung di tengah jalan tanpa mendapat bantuan awal dari orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut.

“Bila disiasat (individu yang merakam) katanya panik sehingga tidak tahu berbuat apa-apa kerana khuatir treler tersebut akan meletup, secara teorinya jika kebakaran telah berlaku akibat tumpahan minyak, ia tidak akan menyebabkan letupan,” katanya ketika ditemui oleh pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Kursus Ketua Platun Kadet Bomba Negeri Sarawak Siri 1/2019 di sini, hari ini.

Khirudin berkata, kesedaran masyarakat dalam mengambil tahu asas-asas memberikan bantuan awal dan bertindak responsif adalah penting bagi menghadapi sebarang kejadian kecemasan.

“Sebagai masyarakat, kita harus sedar bahawa setiap individu itu mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing, bertindak lebih responsif, berikan bantuan kecemasan kepada mana-mana mangsa yang memerlukan bantuan apatah lagi yang melibatkan keluarga,” katanya.

Pihak Bomba, katanya, tidak mampu mendidik semua masyarakat kerana kekangan waktu dan tugas, namun, Kadet Bomba yang diwujudkan di sekolah-sekolah diharap boleh menjadi pemangkin dan menjadi ejen perubahan dalam masyarakat.

“Guru Kadet Bomba dan anggota Kadet Bomba adalah individu yang lebih dekat kepada masyarakat. Kita yakin mereka boleh mengambil alih tugas untuk mendidik masyarakat dengan berkongsi elemen yang positif berdasarkan dengan segala ilmu yang telah dipelajari semasa menjalani kursus asas,” katanya.

Seramai 20 guru dan 75 pelajar dari beberapa buah sekolah menengah di negeri ini telah menyertai Kursus Asas Kadet Bomba yang berlangsung selama tiga hari mulai Jumaat lepas sehingga hari ini.

— BERNAMA

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)