Siakap Keli
Gambar : Facebook

Keluarga Pemandu lori Tangki Minyak Yang Maut terbakar Diberi Bantuan

Kuala Lumpur : Pejabat Parlimen Puchong antara yang tampil memberi bantuan kewangan hari ini, bagi meringankan beban perbelanjaan isteri serta anak-anak kepada Mohamad Suhaimi Khamis, pemandu lori yang maut dalam kebakaran selepas kenderaannya terbabit dalam kemalangan, baru-baru ini.

Menurut kenyataan dari pejabat Parlimen Puchong, selain pihaknya, sumbangan kewangan turut disalur pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri Sri Serdang.

Sumbangan berkenaan disampaikan dalam lawatan Penyelaras Parlimen Puchong Senator R Suresh Singh, mewakili anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo dan Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud ke kediaman keluarga mangsa di Kampung Kenangan, Batu 13, Puchong.

“Pihak pejabat Parlimen Puchong juga akan membantu meringankan beban perbelanjaan sekolah anak-anak mangsa serta menguruskan bantuan dari kerajaan negeri dan pihak-pihak yang berkenaan.

“Pelbagai pihak dari Badan Bukan Kerajaan serta masyarakat setempat juga hadir bersama bagi memberi sokongan moral dan menguruskan beberapa perkara yang berkaitan dengan mangsa,” menurut kenyataan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi, Sabtu lepas di Kilometer 372 arah utara, Lebuhraya Utara Selatan selepas Hentian Rehat dan Rawat (RR) Behrang ​​​​​​, Mohamad Suhaimi, 38, maut selepas lori tangki berisi minyak diesel dipandunya melanggar belakang lori membawa muatan besi cerucuk di lorong kecemasan.

Mohd Suhaimi meninggalkan isteri, Khatijah Abdul Karim, 35, yang kini mengandung anak keempat.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.