Siakap Keli

Kerajaan Akan Ambil Alih Lebuh Raya Secara Berperingkat – Azmin

Kerajaan sememangnya bercadang untuk mengambil alih konsesi lebuh raya di negara ini namun ia akan dilakukan secara berperingkat dan perlu melalui proses yang betul, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata proses pengambilalihan tol lebuh raya memerlukan perbincangan menyeluruh seperti melihat kembali perjanjian yang ditandatangani serta implikasi kewangan yang bakal terjadi selepas pengambilalihan tersebut.

“Satu per satu lah (ambil alih tol), tadi kamu (pemberita) kata beban kewangan besar bila laksanakan ambil alih.

“Apabila kerajaan ambil empat (tol) kata tidak ada kemampuan nak bayar, sekarang nak suruh ambil lagi satu pula,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang bertanya  mengapa kerajaan tidak turut mengambil alih syarikat konsesi lebuh raya milik Plus Malaysia Berhad (PLUS).

Sabtu lepas, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan kerajaan telah pun memulakan rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang syarikat tersebut mempunyai pegangan majoriti.

Menurut kenyataan tersebut, kerajaan berhasrat untuk memansuhkan mekanisme tol sedia ada apabila berjaya mengambil alih lebuh raya berkenaan.

Berdasarkan kenyataan itu, ‘congestion charge’ atau caj kesesakan akan diperkenalkan yang mana pengguna akan hanya dikenakan bayaran caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari.

Semasa tempoh ‘off-peak’ (luar waktu puncak) antara 11 malam dan 5 pagi, penggunaan lebuh raya adalah percuma. Bagi penggunaan waktu biasa, pengguna akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada.

Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART.

— BERNAMA

Nur Farra

writ.er / [rahy-ter]
-noun
1. a peculiar organism capable of transforming caffeine into books.

Editor: Nur Farra

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di