Siakap Keli

Polis Tahan Suspek Dakwa Gila Isim Berhubung Penemuan Berhala Di Surau

Polis menahan seorang lelaki sebagai suspek dua kejadian penemuan patung berhala di Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah, Pelabuhan Klang di sini, yang dilaporkan berlaku pada Rabu dan Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata suspek dipercayai mempunyai masalah mental ‘gila isim’ (mengamalkan ajaran Islam yang menyimpang) selepas mengaku pernah belajar ilmu agama yang salah di negara jiran.

Suspek berusia 37 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Pendamar Indah pada pukul 6.15 petang semalam.

Beliau berkata ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis metamfetamin dan mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu mendatangkan kecederaan pada 1997 dan kes curi pada 2000.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku meletakkan satu patung kepercayaan Buddha yang dikenali sebagai ‘Datuk Gong’ kerana mahu mengajak mereka yang menganut agama berkenaan untuk sembahyang di surau terbabit dan dua lagi patung kepercayaan Hindu turut diletakkan dengan tujuan yang sama.

“Suspek juga mengaku terbabit meletakkan patung berkenaan secara bersendirian di surau itu dan memaklumkan dia kerap bermimpi melihat Kaabah dikelilingi patung berhala serta percaya perlu bertindak melakukan perkara sama di surau berdekatan rumahnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Amar berkata suspek mengaku mengambil patung berkenaan di sebuah tokong kecil berhadapan sebuah rumah dan tempat pembuangan sampah di sekitar kawasan perumahannya.

“Pihak polis akan menjalankan siasatan menyeluruh merangkumi semua aspek dan tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai masalah mental,” katanya sambil menegaskan kes itu tidak membabitkan sensitiviti agama dan perkauman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 259 dan 379 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

Nur Farra