Siakap Keli

Siasatan Dakwaan PAS Terima RM90 Juta Daripada 1MDB Ambil Masa – Tun Mahathir

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil masa untuk menyiasat dakwaan PAS menerima wang berjumlah RM90 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata suruhanjaya itu mungkin belum mendapat maklumat sepenuhnya berhubung kes itu.

“Kenyataan SPRM bahawa tiada sebarang wang RM90 juta daripada 1MDB yang dikesan dimasukkan ke dalam akaun rasmi PAS setakat ini, ia mungkin kerana SPRM belum dapat maklumat sepenuhnya…ia (siasatan) mengambil masa.

“Setakat ini banyak lagi pencurian duit oleh Najib (bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) yang SPRM tidak punyai masa untuk selidik, jadi ini tidak bermakna Najib tidak curi, cuma tidak diselidik…kita tunggulah benar atau tidak (dakwaan),” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan kilang Metrod Holdings Bhd di sini hari ini, yang turut dihadiri pengasasnya, Apurv Bagri dan pengerusi Metrod Holdings Datuk Abu Hassan Kendut. – Bernama

Nur Farra