Siakap Keli

Adib Beritahu Saya Dia Dipukul – Pembantu Pegawai IJN

Shah Alam : Seorang Pembantu Pegawai Pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa  Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim memaklumkan kepadanya dia dipukul.

Muhammad Ashraff Baruji, 27, berkata Muhammad Adib hanya menunjukkan isyarat dengan menganggukkan kepala ketika ditanya berhubung kecederaan dialaminya.

“Ketika itu, Adib tak berbaju. Saya tanya lagi pada Adib. Ada jatuh ke? Dia jawab dengan geleng kepala dan buat isyarat pusing-pusing dengan pergelangan tangan kiri (seperti tidak ada).

Saya tanya lagi, Adib ingat kena pukul ke? Dia mengangguk. Sedar-sedar Adib kat mana, dia tunjuk isyarat ke bawah (seperti di sini). Selepas itu, dia mula gerakkan kaki dan tangan. Kemudian, saya cakap kita sambung nanti, Adib rehat dulu. Saya pun beredar,” katanya.

Saksi ke-16 itu juga dilihat beberapa kali tidak dapat menahan sebak ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah pada hari ke-10 inkues kematian Muhammad Adib.

Ditanya Hamdan samada beliau ada memberitahu perkara itu (kena pukul) kepada Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib, saksi itu berkata “Saya memberitahu pada Hari Krismas”. 

Menjawab soalan Hamdan mengapa beliau mengambil masa yang agak lama untuk memberitahu perkara itu  kepada Dr Mohamed Ezani, Muhammad Ashraf berkata pada waktu itu, beliau menganggap komunikasi di antaranya dengan Adib adalah rahsia  dengan pesakit.

Hamdan:  Sepanjang kamu menjaga Adib ada kamu tanya berhubung kecederaannya?

Muhammad Ashraff: Ya. Pada malam itu… selepas fisioterapi, apabila saya mula mengemaskan Adib untuk tidur. Saya tanya soalan. Adib ingat tak apa yang terjadi? Pada mulanya, Adib gelengkan kepala. Kemudian, saya cakap pada dia… tak apa lah, bila nak cerita beritahu saja.

Kemudian, apabila saya mahu beredar, arwah tarik lengan baju kiri saya. Adib angguk dan tunjuk isyarat mahu menulis (di papan putih). Saya berikan Adib papan putih dan kemudian tanya pada dia. Adib kena tarik ke? Dia guna tangan kiri dan tunjukkan isyarat (seperti letak tangan kiri di bahu kirinya macam kena tarik).

Kepada soalan peguam Kamaruzaman Abdul Wahab yang mewakili keluarga arwah, saksi itu berkata beliau terpaksa menamatkan perbualan bersama arwah kerana tidak mahu arwah menjadi resah.

Kamaruzaman: Selepas malam itu, Adib ada menceritakan lagi tak? 

Muhammad Ashraff: Tidak.

Kamaruzaman: Ada kamu tanya dia balik tak?

Muhammad Ashraff :Tidak.

Kamaruzaman: Bila kali terakhir kamu berkomunikasi dengan arwah?

Muhammad Ashraff: Sebelum arwah kembali kritikal.

Ketika menceritakan detik-detik bersama arwah, saksi itu yang kelihatan beremosi berkata beliau berasa paling terkesan apabila arwah menulis di papan tanda yang dia nak minum air buah sebab nak cepat sihat.

“Saya memberitahunya kalau dia dah sihat, sayalah orang pertama akan membelikan air buah untuk Adib,” katanya sambil mengelap air matanya.

Hamdan: Bagaimana hubungan kamu dengan Adib? Kamu faham isyarat Adib? 

Muhammad Ashraff: Hubungan kami rapat. Saya faham, dia berkomunikasi dengan mengangguk kepala, geleng kepala. 

Hamdan: Bagaimana arwah respons kepada kamu?

Muhammad Ashraff: Adib mengambil ubat selama 12 hari, tapi ketika saya bercakap dia boleh memberi jawapan yang rasional. Saya juga sentiasa memberi semangat kepada arwah.

Muhammad Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di IJN.

Inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Editor: Sha Rossa

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di