Siakap Keli
Gambar : Sekadar Hiasan - Pacific Standard

Kerajaan Boleh Ambil Tindakan Terhadap Ibu Bapa Yang Abaikan Kesihatan Anak

Kuala Lumpur : Terdapat peruntukan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 yang membolehkan kerajaan mengambil tindakan terhadap ibu bapa yang mengabaikan kesihatan anak-anak mereka, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Beliau berkata terdapat peningkatan kes melibatkan kematian kanak-kanak terutamanya mereka yang tidak mengambil vaksin  untuk pelalian, dan ibu bapa bertanggungjawab ke atas perkara itu.

“Kami perlu mula melihat untuk mengambil tindakan terhadap ibu bapa yang tidak mahu mengambil vaksin untuk anak mereka.  Kami bukan hanya mengambil berat kesihatan anak-anak mereka, bahkan kesihatan kanak-kanak lain juga.

Doktor telah menekankan terdapat peruntukan dalam Akta Kanak-kanak sekiranya terdapat pengabaian… dan ini adalah isyarat jelas kerana terdapat kes kematian dan apa yang kami tunggu lagi?,” katanya kepada sumber selepas merasmikan Projek Autsome Sunway Putra Mall, di sini hari ini.

Menurut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001, sesiapa yang menjaga seorang kanak-kanak yang mengabaikan, meninggalkan atau mendedahkan kanak-kanak itu dalam keadaan yang boleh mendatangkan kecederaan fizikal dan emosi, boleh didenda maksimum RM20,000 atau dipenjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Yeoh juga menggesa ibu bapa yang anak-anak mereka belum diberikan vaksin untuk tampil ke hadapan dan memastikan mereka mendapat  pelalian menurut jadual yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Pada 23 Feb lepas, seorang kanak-kanak lelaki berusia 25 bulan meninggal dunia di Johor Bahru, Johor disyaki kerana jangkitan difteria dan tidak pernah diberikan sebarang pelalian.

Lima kanak-kanak dipercayai mempunyai kontak dengan kanak-kanak lelaki itu dikuarantin di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru selepas mereka didapati positif dalam ujian penyakit itu.

Dalam perkembangan lain, Yeoh berkata satu prosedur operasi standard (SOP) untuk polis dan mereka di barisan hadapan sektor kerajaan untuk mengendalikan kes yang melibatkan orang kurang upaya termasuk autism, yang akan dilancarkan April tahun ini.

Beliau berkata pengenalan SOP baharu  itu sebagai respons terhadap kes 11 Sept tahun lepas, yang mana seorang lelaki  autistik ditahan dan disiasat bagi membantu siasatan kes cabul.

“Kementerian saya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sedang mengumpulkan maklumat dan maklum balas serta akan mengadakan satu bengkel untuk menyiapkan SOP mengendalikan penghidap autism sebagai garis panduan buat mereka,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.