Siakap Keli

Padah Lawan Cakap Jurulatih, Kepa Didenda Potongan Gaji Seminggu

Selain pertembungan dua seteru utama bola sepak Inggeris antara Liverpool dan Manchester United dalam saingan EPL, bola sepak dunia hujung minggu lepas juga turut diisi dengan insiden penjaga gol muda Chelsea dengan jurulatihnya.

Kepa Arrizabalaga, 24, pada hujung babak perlawanan sebelum penentuan sepak penalti dilihat bertekak dengan Maurizio Sarri kerana enggan dikeluarkan biarpun mengalami kekejangan kaki sebanyak 2 kali.

Kesan tindakkan, Chelsea tewas kepada Manchester City dalam penentuan tersebut, sekaligus menambah ‘cerita buruk’ yang dialami oleh Kepa. City kemudian dinobatkan sebagai Juara Piala Carabao.

Di tepi garisan padang, jelas pengendali kelab daripada Itali tersebut merasa amat marah dengan tindakkan anak buahnya hingga hampir sahaja meninggalkan padang.

Bagaimanapun, selepas tamat perlawanan, Sarri memberitahu media bahawa insiden berkenaan berpunca daripada salah faham yang berlaku antara dia, Kepa dengan staf medik yang memeriksa kekejangan kaki Kepa.

Malah, Sarri juga menjelaskan bahawa perkara berkenaan sudah diselesaikan dan membiarkan kelab menentukan hukuman terhadap Kepa.

Justeru, melalui laporan yang dibuat oleh Goal.com mengesahkan Chelsea telah mendenda Kepa potongan seminggu gaji dan wang berkenaan akan disalurkan kepada Yayasan Chelsea.

Melalui laporan 90min, Kepa yang berpindah daripada Athletic Bibao dengan rekod penjaga gol termahal di dunia pada tanda harga 71 juta pound akan menerima gaji sebanyak 195,000 pound (RM 1.04 juta) seminggu di Chelsea dengan kontrak selama 7 tahun.

Sumber: Goal.com, 90min

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.