Siakap Keli
Gambar Sekadar Hiasan

Suami Isteri Dipenjara 24 Bulan Kerana Dera Anak Lelaki

Johor Bharu : Pasangan suami isteri dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mendera anak lelaki mereka dari 2017 hingga 18 Feb lepas.

Hakim Kamarudin Kamsun memerintahkan Muhammad Farid Rosli, 29, dan Yuliani Chosibah, 38, dijatuhi hukuman berkenaan bermula tarikh tangkapan pada 19 Feb lepas, selepas kedua-duanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Kamarudin turut memerintahkan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dan menjalani khidmat masyarakat selama 48 jam terhadap kedua-dua tertuduh dan jika gagal, kedua-duanya boleh dipenjara setahun.

Muhammad Farid, yang juga pemandu bas dan Yuliani, seorang surirumah, warga Indonesia yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun itu, didakwa bersama-sama menganiaya dan membiarkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal di sebuah rumah di Pangsapuri Desa Melayu, di sini.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau ke­dua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, kanak-kanak berkenaan yang tidak pernah bersekolah adalah anak kandung Yuliani dan anak tiri kepada Muhammad Farid, mula dipukul oleh Muhammad Farid sejak kanak-kanak itu berumur 10 tahun.

Muhammad Farid telah beberapa kali memukul kanak-kanak itu mengguna rotan pada bahagian belakang badan dan tangan manakala Yuliani pula ada memukul dengan menggunakan penyangkut pakaian dengan kejadian disaksikan ibu mentuanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi’uddin memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap kedua-dua tertuduh atas beberapa alasan termasuk mengambil kira kepentingan awam kerana penganiayaan kanak-kanak kerap berlaku dalam kalangan orang yang mempunyai hubungan amanah terutama ibu bapa.

Kedua-dua tertuduh yang menangis teresak-esak sepanjang prosiding itu, tidak diwakili peguam.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.