Siakap Keli

Alami Penyakit Ganjil, Bulu Kucing Ini Boleh Bertukar Warna

Seorang pemilik kucing di Jerman berkongsi beberapa keping gambar unik kucing peliharaannya yang mampu bertukar warna bulu.

Menurut Nicole Bohm, kucing yang diberi nama Elli itu sebenarnya adalah kucing pungut yang mempunyai masalah kesihatan, vitiligo yang menyebabkan warna bulunya boleh berubah.

Ujar Nicole lagi, ketika itu dia menyelamatkan sepasang anak kucing pada 2016 dan tidak mengesan sebarang perubahan pada Elli sehinggalah setahun kemudian.

”Elli berbulu hitam di bahagian belakang, sama seperti saudaranya, tiada apa yang berbeza pada awalnya. Bulu itu hanya mula berubah setahun kemudian.

”Ketika itu, saya mendapati ada sedikit tompok bulu putih pada bahagian belakangnya. Saya tidak tahu apa yang berlaku tetapi saya membawa Elli bertemu dengan veterinar,” katanya.

Nicole kemudian diberitahu bahawa Elli mempunyai masalah vitiligo, satu penyakit yang jarang-jarang berlaku dimana warna pigmen pada bulu atau kulit haiwan berkurangan.

Walaupun vitiligo dianggap sebagai penyakit, Nicole berpendapat Elli sebenarnya berada dalam keadaan sihat sepenuhnya.

Daripada sekadar tompok pbulu putih, warna bulu Elli kemudian bertukar menjadi putih daripada hitam perlahan-lahan.

”Saya terkejut, sangat terkejut” kata Nicole yang mendapati Elli bertukar warna bulunya.

”Personalitinya tetap sama. Elli tetap kucing sama yang berwarna hitam biarpun dia kini sudah berbulu putih. Elli tetap haiwan yang comel dan aktif seperti kucing-kucing yang lain,” kata Nicole lagi.

Sumber: The Dodo

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.