Siakap Keli
Gambar : Oddity Central

Canggih, China Perkenal Penyampai Berita ‘AI’, Langsung Tak Ubah Macam Manusia

Agensi berita China, Xinhua, baru-baru ini mengumumkan penyampai berita terbaru bagi stesen mereka yang dikenali sebagai Xin Xiaomeng. Namun, apa yang istimewanya mengenai ‘Xiaomeng’ sehingga kemunculannya diumumkan sebagai tajuk berita?

Ini kerana penyampai berita ini bukanlah manusia sebaliknya model yang dihasilkan oleh komputer ultra-realistik menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang canggih.

Xiaomeng, seorang ‘wanita’ yang kelihatan sempurna, memperkenalkan dirinya kepada penonton Xinhua melalui satu klip pendek, mengumumkan bahawa dia akan tampil buat kali pertama secara profesional sebagai penyampai berita utama agensi itu pada Mac ini.

Model ini telah dibangunkan oleh agensi berita kendalian kerajaan dengan kerjasama enjin carian Sogou. Manakala, penampilan dan suaranya pula diilhamkan daripada penyampai berita sebenar yang bernama Qu Meng.

Dalam video pengenalannya, dia kelihatan begitu sempurna bercakap dalam bahasa Cina tetapi tidak dapat dijelaskan sama ada dia dapat membaca berita berbahasa Inggeris dengan baik atau tidak.

Difahamkan, pengumuman penyampai wanita AI pertama Xinhua itu dibuat hanya tiga bulan selepas agensi berkenaan menampilkan dua versi penyampai AI lelakinya. Kedua-dua mereka setakat ini dilaporkan telah menyampaikan lebih daripada 3,400 laporan berita dengan jumlah penyiaran lebih dari 10,000 minit.

Kedua-dua mereka juga telah diberi penambahbaikan sejak November lalu apabila sebelum ini mereka hanya dapat membaca berita sambil duduk di meja dan dengan bahasa tubuh minima.

Mengagumkan apabila menerusi video terbaharu Xin Xiahao iaitu salah seorang penyampai lelaki AI, di mana dia menunjukkan keupayaannya berdiri dan memberitahu penonton tentang peningkatan yang diterima terhadap dirinya.

”Daripada bekerja di belakang meja, saya akan menyampaikan berita di hadapan meja dalam kedudukan berdiri.

”Saya boleh membuat lebih banyak gerak tangan dan ekspresi muka. Sekarang saya mempunyai nama saya sendiri, Xin Xiahao. Terima kasih kepada peningkatan ini, saya akan dapat melakukan penyampaian siaran dengan lebih baik selepas ini,” kata model digital itu.

Walaupun kesemua pembaca berita AI ini masih belum mampu meniru bahagian-bahagian manusia dengan sepenuhnya, namun mereka kelihatan sangat realistik dan ada ketikanya lebih baik daripada orang sebenar. Sebagai contoh, mereka tidak pernah terlepas isyarat daripada produksi ataupun gagap ketika bersiaran. Hebat bukan?

Sumber : Oddity Central

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.