Siakap Keli

Ramai Generasi Kini Tak Kenal, Siapa Nurul Huda Abdullah, ‘Wanita Besi” Harumkan Nama Malaysia Pada Tahun 80-an Dulu

Pepatah ‘tangan yang menghayun buaian juga boleh menggoncang dunia’ ataupun sebaris lirik lagu popular Datuk Rossa, ‘bila wanita beraksi dunia hancur’ sudah cukup untuk menggambarkan betapa di sebalik kelembutan yang terpamer tersembunyi keampuhan yang luar biasa.

Lihat sahaja dalam pelbagai bidang, pasti ada penglibatan wanita yang bukan calang-calang pencapaian diraih, sehingga ada kalanya turut meletakkan nama Malaysia di peta dunia, khususnya dalam acara sukan.

Apabila menyebut berkenaan wanita besi dan sukan, ada satu nama yang tak sah kalau tidak kita sebut. Bukan sahaja seorang wanita yang hebat secara peribadi, malah kehebatannya turut dibuktikan dalam bidang sukan. Kejayaan demi kejayaan, pingat demi pingat yang diraih, tidak salah sekiranya kita mengiktiraf beliau sebagai Atlet Wanita Terbaik Negara Sepanjang Zaman.

Rekod demi rekod

Beliau tidak lain tidak bukan adalah Nurul Huda Abdullah Ch’ng Shu Lin, 46, bekas atlet sukan renang dan pemegang 22 pingat emas Sukan Asia Tenggara (SEA). 22 pingat emas, satu pencapaian yang sungguh luar biasa dan kekal dalam lipatan sejarah negara serta menjadi bukti Malaysia memiliki atlet wanita yang sungguh hebat dan berbakat.

Nurul Huda mula mewakili Malaysia dalam Sukan SEA semenjak usianya 11 tahun lagi.

Bukan sahaja menjadi jaguh di laman sendiri atau di peringkat serantau, kecemerlangan Nurul Huda juga menyerlah di peringkat Asia. Beliau menjadi wanita pertama dan rakyat Malaysia pertama yang berjaya menghadiahkan pingat dalam acara suka renang buat negara di Sukan Asia dan Kejohanan Renang Asia.

Selain itu, ketangkasannya di dalam kolam renang seolah-olah sukar dicabar apabila menjadi individu wanita pertama di peringkat Asia Tenggara yang berjaya memecahkan rekod 5 minit dalam acara renang individu 400 meter. Tidak cukup dengan itu, Nurul Huda terus menjulang nama negara apabila turut menjadi wanita pertama Asia Tenggara yang berjaya memecahkan rekod 60 saat dalam acara 10 meter gaya bebas.

Pencapaian demi pencapaian yang diraih sepanjang kerjayanya sebagai atlet negara, maka tak hairanlah pelari obor Sukan Olimpik 2008 ini dinobatkan sebagai Olahragawati Negara untuk tempoh lima tahun berturut-turut bermula daripada tahun 1985 sehingga 1989.

Wanita besi

Kenapa Nurul Huda diangkat sebagai Wanita Besi? Ia adalah sebuah usaha yang digerakkan oleh Pantene yang mahu mengubah stereotaip dan seksis yang menjadi imej kepada wanita untuk sekian lama. Pantene mahu menjadikan frasa Wanita Besi itu sebagai gambaran bahawa kekuatan itu adalah salah satu ciri kewanitaan dan sebagai wanita, kuat itu juga bermaksud cantik.

Satu fakta yang tidak boleh dinafikan adalah setiap wanita mempunyai kekuatan yang tersendiri dan jika diterjemahkan dalam kehidupan seharian, maka lahirlah wanita hebat seperti Nurul Huda.

Jadi, buat semua wanita di luar sana anda sebenarnya tidak perlu merasa takut sekiranya mahu bergerak aktif di atas ‘padang’. Seperti Nurul Huda, menongkah arus untuk menjadi seorang wanita hebat dalam mengukir nama negara di persada dunia.

Sokongan pelbagai pihak

Kempen yang dibawakan oleh Pantene ini juga turut mendapat sokongan daripada dua individu wanita berprofil tinggi negara iaitu penyanyi popular antarabangsa, Yuna Zarai dan gimnas tanah air, Farah Ann Abdul Hadi.

Bagi Yuna, tiada sesiapa pun berhak menghalang mana-mana wanita yang mahu berkecimpung secara aktif dalam dunia sukan, bahkan semua pihak perlu berganding bahu menentang sebarang diskriminasi terhadap wanita serta saling bergandingan bahu memastikan wanita-wanita hebat ini kekal aktif dalam arena sukan tanah air.

Bagi Farah Ann pula, dia bersetuju dengan pendapat yang dilontarkan oleh Yuna dan pada masa yang sama berbangga kerana dapat menjadi inspirasi kepada wanita-wanita lain yang mahu berkecimpung dalam dunia sukan.

Kongsikan kisah inspirasi Wanita Besi anda bersama-sama Pantene dengan hastag #WanitaBesi #StayInSports dan #StrongIsBeautiful.

Untuk maklumat lanjut mengenai Kempen Wanita Besi ini, anda boleh layari facebook dan website Pantene.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.