Siakap Keli
Gambar - Google

Takut Mati Di Tali Gantung, Wanita Tertipu Hampir RM500 Ribu

George Town : Seorang wanita di Sungai Ara, Bayan Lepas dekat sini kerugian hampir setengah juta ringgit selepas diperdayakan oleh satu sindiket yang kononnya dapat menyelamatkannya daripada hukuman gantung sampai mati.

Sindiket melibatkan seorang individu yang menyamar sebagai petugas polis berpangkat sarjan dari Ibu Pejabat Polis Negeri Sembilan itu turut mendakwa wanita berumur 53 tahun itu ada dua tunggakan bayaran di sebuah bank yang boleh diselesaikan dengan membayar kepada mereka.

“Kerana ketakutan, wanita yang merupakan penjual minuman soya itu telah melakukan tujuh transaksi melibatkan wang berjumlah RM476,000 yang dimasukkan ke dalam beberapa akaun bank yang diberikan oleh sindiket itu,” kata Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt A.A Anbalagan hari ini.

Katanya mangsa mula dihubungi anggota sindiket itu dalam bulan Disember lepas dan ekoran terpedaya dengan sindiket itu, dia telah mengeluarkan wang simpanannya di Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan menggunakan wang hasil perniagaannya untuk diberikan kepada sindiket itu.

“Apabila anggota sindiket itu tidak lagi menghubunginya selepas pembayaran dibuat, mangsa mula   merasai dirinya ditipu dan seterusnya membuat laporan polis semalam,” kata Anbalagan sambil menambah kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.