Siakap Keli
BERNAMA

Warga Emas Didakwa Muat Naik Komunikasi Jelik Nabi Dan Isteri

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) — Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua tuduhan memuat naik karikatur dan menghantar komunikasi jelik yang dikatakan Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda Sayidatina Aisyah menerusi akaun Facebook miliknya.

Wai Foo Sing, 68, didakwa telah memuat naik satu hantaran melalui aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil Facebook “Foo Sing Wai” yang mana tindakan itu berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan agama di antara kumpulan yang beragama Islam dengan bukan beragama Islam di seluruh negara.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 5 petang, 17 Feb lepas dan hantaran itu telah dibaca pada 18 Feb lepas pada 12 tengah hari di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27 , Menara KPJ, Wangsa Maju

Wai didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum menurut Seksyen 298A(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua hingga lima tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membuat dan menghantar komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui perkhidmatan aplikasi sama pada tarikh sama dan hantaran itu dibaca juga pada tarikh serupa di tempat sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal tidak menawarkan wang jaminan dengan alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin, bagaimanapun katanya sekiranya mahkamah membenarkan jaminan beliau memohon jumlah tidak kurang RM30,000.

“Kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius malah jaminan yang ditawarkan ini tidak melampau mengambil kira perbuatan yang dilakukan. Kes ini juga mendapat perhatian masyarakat kerana kes ini melibatkan agama dan Nabi.

“Jika jumlah jaminan rendah, saya bimbang boleh memberi persepsi negatif kepada orang awam terhadap sistem kehakiman. Jaminan munasabah adalah bagi menjamin kehadiran tertuduh ke mahkamah,” katanya.

Wai yang tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan dibenarkan dengan jumlah jaminan rendah kerana dia tidak bekerja dan mempunyai masalah kesihatan.

“Saya menghidap penyakit kencing manis dan tidak bekerja.Saya juga tidak mempunyai wang yang banyak untuk membayar jamin mohon jaminan dikurangkan,” katanya.

Hakim M.M Edwin Paramjothy membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 April untuk sebutan semula kes.

Pada 19 Feb lepas, Bernama melaporkan polis menahan seorang warga emas di sebuah taman perumahan di Mentakab, Temerloh, pada kira-kira 11.30 pagi bagi membantu siasatan kes berhubung menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda Sayidatina Aisyah.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.