Siakap Keli

Bayi Lelaki Terkecil Berjaya ‘Berjuang’ Untuk Hidup, Punyai Berat Sama Seperti Sebiji Bawang

Seorang bayi yang dilahirkan di Tokyo, Jepun mempunyai berat sama dengan sebiji bawang mencatat rekod apabila berjaya keluar daripada hospital dalam keadaan sihat.

Dengan berat 268 gram, bayi ini dilahirkan ke dunia melalui pembedahan pada usianya 24 minggu selepas doktor mendapati dia berhenti membesar ketika di dalam kandungan.

Ketika dilahirkan, bayi ini dikatakan bersaiz lebih kecil daripada tapak tangan seorang manusia dewasa. Namun setelah menjalani rawatan rapi selama 5 bulan di hospital, bayi berkenaan meninggalkan Hospital Universiti Keio dengan berat 3.28 kg.

”Saya sangat gembira dengan perkembangan anak saya ini kerana terus-terang, awalnya saya tidak yakin dia berjaya hidup lebih lama,” kata ibu kepada bayi tersebut.

Menurut Doktor Takeshi Arimitsu, yang bertanggungjawab memantau dan merawat bayi tersebut, ia menjadi bukti bahawa bayi yang dilahirkan dengan saiz sangat kecil juga mempunyai peluang untuk meneruskan hidup.

Pihak hospital juga percaya bayi tersebut memegang rekod sebagai bayi lelaki terkecil yang pernah dilahirkan dan berjaya hidup ketika keluar daripada hospital.

Rekod sebelum ini dipegang oleh bayi daripada Jerman yang dilahirkan pada 2009 dengan berat 274 gram.

Manakala rekod bagi bayi perempuan terkecil dilahirkan dan berjaya hidup dicatatkan juga di Jerman pada 2015 iaitu pada berat 252 gram.

Peluang hidup untuk bayi yang dilahirkan dengan saiz kecil adalah lebih rendah dalam kalangan bayi lelaki berbanding bayi perempuan.

Sumber: News Experts

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.