Siakap Keli

India Tuntut Pakistan Bebaskan Juruterbangnya Yang Ditawan

India dalam satu kenyataan menuntut Pakistan untuk segera membebaskan juruterbangnya yang ditahan dalam insiden dua pesawat tempur Tentera Udara India yang ditembak jatuh dalam Kashmir, baru-baru ini.

Sejak semalam, tular video di atas talian yang menunjukkan juruterbang berkenaan ditawan dan ditutup mata sambil diiringi oleh anggota tentera Pakistan untuk tujuan penahanan.

India yang memberi respon terhadap penularan video berkenaan menganggap bahawa ia tindakan ‘tidak bertanggungjawab’. Malah, rata-rata rakyat India mengangkat juruterbang berkenaan sebagai wira negara. Bagaimanapun, ada juga yang mendesak kedua-dua pihak bertelagah supaya berunding antara satu sama lain.

Ketika ini, wujud kebimbangan bahawa pertelingkahan ini boleh membawa kepada peperangan dengan kedua-dua buah negara mempunyai keupayaan senjata nuklear.

Kejadian terbaru ini yang berlaku di Line of Control (LoC) di Kashmir yang memisahkan India dengan Pakistan adalah yang pertama sejak tahun 1971. Kedua-dua buah negara ini menuntut penguasaan penuh ke atas wilayah Kashmir.

Ketegangan di wilayah berkenaan tercetus selepas India menjalankan operasi ketenteraan dalam wilayah Pakistan tanpa kebenaran ketika mengebom kemudahan pusat latihan kumpulan militan.

Kumpulan miltan tersebut sebelum ini dipercayai bertanggungjawab dalam serangan bom berani mati di pos tentera India yang menyebabkan korban sebanyak 40 nyawa.

Kuasa besar seperti Amerika Syarikat menyeru kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan dan memberi fokus kepada usaha untuk mengurangkan ketegangan di wilayah tersebut.

Sumber: BBC

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.