Siakap Keli
Gambar Sekadar Hiasan - Google

Jabatan Kesihatan Johor Tepis Khabar Angin, Tiada Usahasama Dengan Organisasi Doula

Johor Bahru : Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor tidak pernah mempunyai sebarang kolaborasi atau usahasama dengan mana-mana organisasi atau individu yang berkaitan dengan perkhidmatan doula.

Menegaskan demikian, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata doula adalah perkhidmatan yang tidak pernah  diiktirafkan oleh pihaknya, apatah lagi di peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia.

Katanya, sehingga kini, pihaknya juga belum  pernah menerima sebarang permohonan dari mana-mana organisasi untuk mendapatkan pandangan atau kelulusan bagi menguruskan perkhidmatan doula.

“Jabatan ini menggesa agar mana-mana organisasi mahupun individu yang berkaitan dengan perkhidmatan doula untuk tidak menimbulkan sebarang persepsi seolah-olah perkhidmatan doula mempunyai jalinan bekerjasama dengan fasiliti kesihatan di Jabatan Kesihatan Negeri Johor. 

“Selain itu, jabatan ini menyeru masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin dan hasutan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Kenyataan itu sebagai mengulas dakwaan seorang pengguna Facebook semalam yang menyebut aktiviti doula di Johor selama ini berlangsung tanpa masalah kerana mendakwa terdapat persefahaman dengan pihak pengurus fasiliti kesihatan negeri.

Dr Selahuddeen berkata menurut peruntukan undang-undang sedia ada, penglibatan individu yang tidak berdaftar mahu pun bertauliah dalam pengurusan jagaan ibu mengandung serta proses kelahiran adalah menjadi satu kesalahan.

“Misalnya Subseksyen 14(1) Akta 436 memperuntukkan mana-mana individu yang mengamal amalan perbidanan tanpa pendaftaran di bawah Akta tersebut adalah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau pemenjaraan tidak lebih dari satu tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Akhir-akhir ini, isu doula mencetuskan perdebatan dalam kalangan orang ramai akibat tindakan sebuah televisyen swasta menjemput seorang professor serta pengamal doula bebas untuk membincangkan tajuk “Doula Peneman Ibu atau Pengganti Doktor.”

Sebelum itu, kerajaan pernah menyatakan akan mewujudkan pengawalan dan peraturan terhadap perkhidmatan itu bagi mengelak berlaku sebarang kemudaratan kepada ibu yang bersalin dan juga anak yang dilahirkan.

Cadangan timbul selepas terdapat kes kematian bayi yang dilahirkan menggunakan khidmat itu pada awal tahun lepas.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.