Siakap Keli
Gambar Hiasan - Google

Kes Demam Denggi Di Negeri Sembilan Meningkat

Seremban : Sebanyak 528 kes demam denggi direkodkan di Negeri Sembilan bagi tempoh dari 1 Jan sehingga 27 Feb lepas, yakni peningkatan 200 peratus berbanding 176 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri S. Veerapan berkata daerah Seremban merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 423, diikuti Port Dickson (29 kes), Tampin (30 kes), Rembau (15 kes), Jempol (12 kes) serta Kuala Pilah dan Jelebu, masing-masing sembilan dan 10 kes.

“Terdapat tiga kes kematian disebabkan oleh demam denggi dilaporkan di Negeri Sembilan sehingga 27 Feb berbanding tiada kes dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun lepas. Kes-kes kematian ini melibatkan orang dewasa yang mempunyai penyakit lain seperti diabetes, darah tinggi dan sakit jantung,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

 “Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan awal di fasiliti kesihatan terdekat jika terdapat  tanda dan gejala demam denggi. Mereka juga hendaklah memastikan keadaan rumah dalam keadaan bersih dan bebas dari tempat pembiakan aedes dengan membuat pemeriksaan rumah setiap minggu.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya memberi kerjasama kepada anggota penguatkuasa Kementerian Kesihatan Malaysia semasa aktiviti pemeriksaan tempat pembiakan aedes dan semburan ruang termal dijalankan dengan membenarkan kawasan rumah diperiksa dan mengikut arahan yang diberikan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Veerapan berkata tiada kes strok haba dilaporkan berlaku di N.Sembilan setakat ini.

“Buat masa ini, keadaan cuaca di Negeri Sembilan adalah panas dan berisiko mendapat strok haba. Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan risiko mendapat strok haba iaitu minum air kosong yang banyak, menggunakan payung atau topi ketika keluar dan menggunakan pelembap kulit atau losyen pada bahagian yang terdedah kepada matahari.

“Orang ramai dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan sekiranya mempunyai tanda-tanda strok haba seperti sakit kepala, mual, muntah, pengsan, sawan, kulit kering serta kemerah-merahan dan suhu badan meningkat,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.