Siakap Keli

Sebak, Terpisah Sejak Usia 5 Tahun, Jurugambar Ini Bertemu Semula Ayahnya Kerana Merakam Gambar Gelandangan

Seorang jururambar, Diana Kim, sama sekali tidak menyangka hobinya mengambil gambar gelandangan sejak di zaman kolej akhirnya membawa kepada penemuan seseorang yang sungguh meruntun hati.

Individu tersebut adalah bapa kandungnya yang telah lama terpisah sejak dia berusia 5 tahun apabila kedua orang tuanya bercerai. Kini siapa sangka, Diana yang berdarah Amerika-Korea kini ditakdirkan bertemu ayahnya semula di usia 30 tahun.

Membesar dalam kepayahan

Diana membesar dalam kepayahan apabila ibu bapanya itu bercerai. Ibunya berusaha keras membesarkannya. Mereka berdua tidak mempunyai tempat tinggal, kadangkala menumpang bersama saudara-mara dan rakan-rakan. Malahan mereka dua beranak pernah tinggal di taman dan di dalam kereta.

”Saya selalu menganggap kesusahan yang saya tempuhi sebagai pengalaman yang paling berharga dalam hidup supaya ia tidak mengganggu fokus saya. Daya juang saya untuk teruskan hidup sangat kuat,” kata Diana.

Minat mengambil gambar gelandangan di kolej

Selepas diterima memasuki kolej pada 2003, Diana mula mengambil gambar golongan gelandangan kerana minat. Malah, setelah 10 tahun apabila dia berjaya menjadi jurugambar yang berjaya, gelandangan sentiasa menjadi subjek kegemarannya.

”Saya rasa saya boleh memahami penderitaan mereka. Saya tahu rasanya dibuang dan dilupakan. Saya juga tahu rasanya tidak mempunyai kehidupan yang stabil dan ekonomi yang baik kerana saya telah melalui kesemuanya,’‘ kata Diana.

Terpandang bapa di suatu sudut jalan

Ketika Diana melakukan satu sesi photoshoot di Honolulu, Hawaii pada 2012, dia terpandang bapanya di suatu sudut jalan. Namun ayahnya itu tidak mengecam anaknya sendiri kerana mereka terpisah sejak Diana masih kecil. Tetapi dia masih mengenali ayahnya itu hanya dengan sekali pandang.

Masih sedikit ragu, Diana berjalan menuju ke arah bapanya walaupun tidak pasti mengapa dia merasa begitu teruja ketika itu. Dia menyedari ayahnya banyak berubah dari segi fizikal dan kelihatan tidak terurus.

Panggil ‘ayah’ tapi dia tak berpaling

”Bapa saya sangat kurus berbanding sebelumnya. Rupanya dia menghidap skizofrenia. Saya akhirnya memberanikan diri berjalan menujunya dan memanggilnya ‘ayah’.

”Ayah saya tidak menyahut panggilan saya, tidak berpaling untuk melihat saya sekalipun. Jadi saya berdiri di depannya cuba untuk menarik perhatiannya, dengan harapan supaya dia boleh kenal saya,” kata Diana.

Derita skizofrenia

Akibat penyakit skizofrenia yang tidak dirawat, lelaki itu tidak bertindakbalas terhadap apa-apa dan kerapkali dilihat bergaduh dengan orang  di sekeliling. Tetapi kenyataannya, tiada sesiapa pun yang berada berdekatannya.

Malahan, dia juga menolak untuk dibawa rawatan oleh anaknya yang telah cuba memujuk berkali-kali.

”Ketika itu, seorang wanita datang ke arah saya dan meminta saya membiarkannya kerana dia sudah biasa berdiri sebegitu. Saya rasa mahu maki wanita tu kerana saya rasa apa yang dia katakan itu kejam. Lelaki itu ayah saya tapi wanita berkenaan tak faham,” kata Diana.

Diserang penyakit jantung

Diana tak pernah berputus asa. Dia sering kembali menemui ayahnya walau ayahnya itu tidak mempedulikannya langsung.

Pada suatu hari, Diana menerima berita ayahnya itu mengalami serangan jantung dan dibawa ke hospital. Pada masa yang sama, harapannya kembali tinggi untuk melihatnya ayahnya kembali normal kerana akhirnya si ayah dapat dibawa ke hospital menerima rawatan.

Ayahnya kembali pulih dan hidup secara normal

Apa yang menggembirakan, keadaan lelaki itu semakin baik setelah mendapatkan rawatan. Dia kini mempunyai kawan semula, sudah pandai menguruskan diri sendiri dan mencari kerja untuk mendapatkan pendapatan sendiri.

Sumber: Goodtimes

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.