Siakap Keli

Hati-Hati Kehadiran Obor-Obor Di Pesisir Pantai

Orang ramai diminta berhati-hati dengan kehadiran obor-obor di pesisir pantai dan laut berikutan cuaca panas dan kering ketika ini kerana ada antara spesiesnya mampu membunuh dalam tempoh tiga minit, kata Pensyarah Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur,  Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Mohd Fazrul Hisam Abd Aziz.

Beliau memberi peringatan itu susulan maklumat yang diperolehnya mengenai peningkatan jumlah obor-obor di sekitar perairan negara berikutan musim panas ketika ini.

Justeru, beliau menyarankan agar kerajaan negeri dan penguat kuasa mengenal pasti lokasi perairan yang berbahaya berikutan kehadiran obor-obor ini bagi mengelak ia dijadikan tempat rekreasi mandi- manda oleh pelancong dan orang tempatan.

“Pemasangan bendera merah dan papan tanda mengenai ancaman obor-obor ini pasti dapat menyelamatkan orang ramai daripada sengatannya,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Walaupun hanya dua spesies obor-obor yang dikesan aktif di negara ini iaitu Chirop­soides Buitendijki dan Morbakka, namun kehadiran spesis Irukandji adalah paling berbahaya ia kerana mampu membunuh manusia hanya dalam tempoh tiga minit itu, sesuatu yang tidak mustahil, katanya.

Dr Mohd Fazrul Hisam berkata keadaan itu berlaku ekoran sumbangan air balast di persekitaran Selat Melaka yang menjadi laluan kapal paling sibuk di dunia.

“Air balast dalam setiap kapal dagang (dalam tangki pengimbang) yang melalui Selat Melaka kebiasaannya disedut dari pelbagai negara tropika menyebabkan risiko obor-obor berbahaya itu turut disedut, dibawa dan dilepaskan dalam perairan Malaysia (untuk berlabuh) sangat tinggi.

“Selain itu, nutrien yang membawa fosforus dan nitrogen daripada aktiviti pertanian juga adalah faktor penggalak kepada pertumbuhan plankton di kawasan pantai yang menggunakan banyak oksigen dalam air di mana ia adalah sumber makanan obor-obor yang turut menyumbang kepada peningkatan spesies akuatik tersebut,” katanya.

Menurut beliau, teori kehadiran spesies Irukandji yang turut dikenali obor-obor merah itu diperkuatkan dengan peningkatan suhu dunia yang menyebabkan hidupan marin itu berpindah mencari tempat yang lebih sejuk.

Pada 10 hingga 20 tahun dahulu, peningkatan suhu dunia hanyalah antara satu darjah sahaja tapi kini ia telah mencapai dua hingga tiga darjah dalam masa setahun malah tahun ini, para pengkaji mengesan  berlaku peningkatan suhu sehingga dalam dua darjah di bahagian laut.

“Jadi ini antara punca kenapa hidupan marin berpindah mencari tempat yang sejuk dan obor-obor tak terkecuali dalam mencari tempat yang sesuai untuk membiak ,” katanya.

Dr Mohd Fazrul Hisam berkata, selain kesan sengatan obor merah yang boleh membawa maut, spesies obor-obor lain juga berbahaya kerana seawal tiga minit juga (selepas disengat) ia boleh menyebabkan kegagalan jantung berfungsi, pening, muntah, tekanan darah naik secara mendadak dan masalah kulit.

“Selepas tiga minit itu, kita dah boleh nampak kesan dia. Lepas tu kita akan nampak kesan yang disengat  pada bahagian kulit. Ada sesetengah laporan mengatakan yang kita boleh guna cuka untuk letak dekat kawasan berbisa tetapi tiada sebarang pengesahan dari sudut saintifik.

Apa yang boleh kita buat apabila terkena ialah basuh dengan air laut dan perlu segera ke hospital. Kalau boleh maklumkan apakah warna obor-obor itu atau ciri-cirinya untuk memudahkan rawatan perubatan diberi kepada mangsa” katanya.

Populasi obor-obor di perairan Malaysia dikatakan tinggi dalam bulan Julai, Oktober, November dan Disember yang mana kebanyakan obor-obor ini boleh dijumpai di semua perairan negara tropika namun daripada 2,000 spesies obor-obor yang diketahui, lebih kurang 100 spesies sahaja yang boleh mendatangkan bahaya  kepada manusia.

Menjawab soalan sama ada nelayan sensitif berkaitan serangan obor-obor tersebut, beliau yang sentiasa bergaul dengan golongan itu berkata mereka amat memahaminya dan sentiasa beringat mengenai ancaman tersebut.

Apa yang dikhuatiri ialah pelancong dan mereka yang gemar bermain di tepi pantai kerana tidak maklum ‘bisa’ obor-obor malah ada yang tidak mengendahkan tanda amaran seperti bendera merah yang telah dipacak oleh pihak penguat kuasa.

Dr Mohd Fazrul Hisam berkata dalam pemerhatiannya beberapa hari lepas di sekitar Pantai Kuala Nerus, terdapat beberapa spesies obor-obor berada di tepi pantai dan senario itu amat berbahaya jika tidak dipantau.

“Bulan lepas pula, kami terima maklumat ada pihak yang menemui Physalia iaitu haiwan dalam  kategori  filum cnidaria yang berada bersama-sama obor-obor. Haiwan ini mempunyai ribuan sel penyengat yang boleh menyebabkan rasa sakit melampau jika terkena pada badan.

“Haiwan ini biasanya dijumpai di Lautan Pasifik. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini ia turut dikesan di perairan Thailand, Kuantan, Pulau Tioman dan Sabah.

“Tidak ada antivenom untuk bisa yang disebabkan sengatan Physalia. Rawatan adalah berbentuk ubat penahan sakit dan melegakan simptom,” katanya.

— BERNAMA

Nur Farra